Kes pensyarah cabul 3 anak yatim ditunda, peguam gastrik - Utusan Malaysia

Kes pensyarah cabul 3 anak yatim ditunda, peguam gastrik

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perbicaraan melibatkan seorang pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam atas 12 pertuduhan cabul terhadap tiga anak yatim, ditangguhkan kepada 30 Mei ini.

Perkara itu diputuskan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim setelah mendengar permohonan daripada salah seorang peguam tertuduh hari ini.

Beliau bersama-sama dua lagi panel mahkamah berkenaan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah bersetuju menetapkan penangguhan tersebut.

Terdahulu, Fatima Zulaikha Ahmad Bashri yang juga antara peguam bela tertuduh memaklumkan bahawa seorang lagi peguamnya, Faizal Rahman tidak dapat hadir.

Justeru, beliau memohon penundaan tarikh perbicaraan dan perkara tersebut turut tidak mendapat bantahan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Mukhzany Fariz Mohd. Mokhtar.

Abang Iskandar menerima alasan peguam itu yang dilaporkan mengalami gastrik semalam dan meminta supaya diserahkan sijil sakit untuk rekod pihak mahkamah pada hari ini juga.

Tertuduh, 35, didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana pertuduhan pencabulan dan persetubuhan luar tabii terhadap tiga remaja di tiga lokasi yang berasingan.

Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah rumah anak yatim di Sungai Buloh, dalam tandas di bangunan fakulti di Puncak Alam dan tandas Saujana Utama Country Resort dekat sini.

Pensyarah tersebut didakwa bertindak mencabul mangsa yang ketika itu berusia 13, 14 dan 15 tahun antara 2015, 2016 dan 2017.

Tertuduh yang hadir bersendirian sebelum pukul 9 pagi dilihat tenang ketika panel mahkamah menunda perbicaraan kes itu dan kemudian segera beredar pantas sejurus selepas sesi ditangguh.

Setakat ini, tertuduh direkodkan tidak pernah mengaku bersalah, namun jika disabitkan kesalahan tersebut, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Kes tersebut mula dibicarakan di Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak di sini pada 24 Oktober 2017 lalu dan tertuduh diberikan ikat jamin RM60,000 dengan hanya seorang penjamin.

Tertuduh turut diarah melaporkan dirinya di mana-mana balai polis berhampiran pada hari pertama setiap bulan serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Hakim ketika itu juga memberi amaran agar beliau tidak menghubungi atau menakut-nakutkan mangsa, secara fizikal atau melalui wadah media sosial, sehingga kes tersebut diselesaikan.

Kes tersebut kemudian difailkan untuk dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan di sini daripada Mahkamah Sesyen setelah dua keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini adalah bertentangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya