PASIR PUTEH: Kira-kira 300 ahli keluarga Omar Saadiah berkumpul di Taman Perumahan Darussalam di sini hari ini memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini.
Sambutan kali ke-31 itu dilangsungkan apabila sebahagian besar waris keluarga berkenaan kembali ke kampung untuk menjayakan program tradisi keluarga yang sudah dua tahun tertangguh.
Pengurus program keluarga itu, Rozi Daud, 68, berkata, setiap nama waris didaftar khusus bagi membolehkan salasilah keluarga direkodkan dan diketahui semua waris.
Menurutnya, perjumpaan hari raya diadakan secara bergilir-gilir di rumah anggota waris setiap tahun atas persetujuan ramai.
“Kita gagal mengadakan perjumpaan dan beramah mesra pada 2020 dan tahun lalu kerana pandemik Covid-19, namun sering berhubung menerusi media sosial agar keakraban sesama waris tidak terputus.
“Biarpun terpaksa meredah kesesakan, waris yang tinggal di seluruh negara berusaha kembali bersua dan menjayakan tradisi sambutan ketika peluang berkumpul dibenarkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumah Mahizan Mahmud di Taman Perumahan Darussalam.
Menurut Rozi, antara pengisian program ialah memperkenalkan ahli waris paling tua atau warga emas kepada semua waris untuk dikenali.
Tambahnya, warga emas, waris yang baharu berkahwin, anak yang baharu lahir, khairat kematian, bantuan rawatan hospital dan pendidikan turut disampaikan pada setiap kali perjumpaan hari raya.
Katanya, penutup tirai majlis dilengkapkan dengan tahlil untuk ahli keluarga yang telah meninggal dunia sebelum jamuan perdana dan ramah mesra sesama waris diadakan. – UTUSAN