Kecewa banjir berterusan, penduduk mahu guna saluran undang-undang

Kecewa banjir berterusan, penduduk mahu guna saluran undang-undang

SEBAHAGIAN penduduk perumahan Taman Desa Ara Permai, Tasek Gelugor, Pulau Pinang yang hadir pada sesi perbincangan mengenai masalah banjir di kawasan perumahan itu bersama ADUN Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor serta wakil beberapa pemaju.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Penduduk perumahan Taman Desa Ara Permai, di sini kecewa berikutan masalah banjir yang dialami mereka sejak dua tahun lalu tidak selesai sekali gus menggesa pihak berwajib mengambil tindakan segera.

Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Ara Permai, Mohamed Nizam Razali, 45, berkata, meskipun pemaju sudah melaksanakan kerja penambahbaikan pada longkang monsun dan saliran sejak beberapa bulan lalu, masalah banjir di perumahan tersebut tetap terjadi.

“Sebelum ini penduduk sudah buat aduan secara bertulis, online dan secara bersemuka kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta pemaju tetapi aduan kami ini seolah-olah dipandang sepi.

“Setahu kami, perumahan di sini bukan kawasan banjir. Setiap kali hujan air naik melebihi paras buku lali tidak sampai 10 minit, malah paling teruk ada antara rumah penduduk yang naik air mencecah paras betis.

“Kasihan pada nasib penduduk yang terkesan, mereka terpaksa menanggung kerugian kemusnahan harta benda dan risiko selain terpaksa mengeluarkan modal sendiri untuk menambah ketinggian simen pada garaj yang saya rasakan tidak masuk akal untuk mereka tanggung semua ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamed Nizam menambah, ekoran terlalu hampa dengan sikap pihak berwajib dalam menangani masalah penduduk yang disifatkannya sebagai sambil lewa, pihaknya tidak teragak-agak untuk menggunakan saluran undang-undang sebagai langkah seterusnya.

“Kami sepakat untuk gunakan saluran undang-undang jika isu ini semakin berlarutan. Apa yang kami mahu adalah hak kami sebagai pengguna terbela kerana kami rasa amat teraniaya dengan situasi ini. Rumah yang dibeli bukannya murah. Harap pihak terlibat cakna dengan isu ini dan ambil tindakan selanjutnya dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor yang turut hadir pada sesi perbincangan tersebut akan mengusulkan isu itu pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula minggu depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN