KOTA BHARU: Ketika ramai penjual ayam merungut menghadapi masalah kekurangan bekalan, pembekal ayam proses terbesar di negeri ini iaitu Jukee Ayam masih mampu mengedarkan sebanyak 17,000 ekor ayam proses sejak minggu lalu.
Pengurus dan pemilik Jukee Ayam, Zukila Deraman berkata, pihaknya mengedarkan bekalan ayam tersebut kepada peniaga di Terengganu, Pahang, Kedah dan Kuala Lumpur setiap hari yang menghubunginya untuk mendapatkan bekalan.
Katanya, pihaknya tidak berdepan masalah bekalan ayam proses kerana masih mendapat bahan mentah itu ketika ini meskipun ramai pembekal gagal berbuat demikian.
“Bagaimanapun, kami mengingatkan kepada penerima bekalan tidak menjual ayam proses pada harga yang mahal hingga menyusahkan pengguna,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini semalam.
Zukila mencadangkan kerajaan membenar kemasukan bekalan ayam hidup dari Thailand tanpa sekatan bagi menyelesaikan krisis bekalan ayam daripada terus berlanjutan.
Katanya, ayam dari negara jiran itu lebih murah dan segar sekali gus mampu menampung keperluan pengguna seluruh negara selain mengimbangi eksploitasi harga bahan mentah itu yang semakin meningkat.
“Langkah itu dapat mengurangkan kuasa jualan pengusaha ladang ternakan ayam tempatan yang sebelum ini didominasi sesetengah pihak yang memainkan peranan utama dalam kenaikan harga sejak kebelakangan ini.
“Ayam hidup dari Thailand perlu dibawa masuk menerusi Rantau Panjang, disembelih dan diproses sendiri pengusaha tempatan dengan pematuhan syarie bagi mengelakkan was-was,” katanya.
Katanya, sebanyak 10,000 hingga 30,000 ekor ayam mampu diagihkan ke seluruh negara setiap hari sekiranya langkah itu dilakukan. – UTUSAN