BACHOK: Jihad memerangi dadah dan pelbagai gejala sosial akan membantu memartabatkan kembali Kelantan sebagai negeri serambi Mekah pada kacamata masyarakat luar.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, hubungan kerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) diperkukuhkan untuk mencapai matlamat itu.
Menurutnya, kes dadah terutama pengedaran dan penagihan pil kuda diberi fokus utama untuk dibanteras secara berterusan.
“Gelaran serambi Mekah tercalar dengan kegiatan dadah dan gejala sosial lain sehingga masyarakat luar Kelantan membuat pelbagai tafsiran.
“Penagih perlu dirawat manakala pengedar perlu dijejaki. Anak muda juga perlu dibimbing dengan pelbagai pengisian yang berfaedah,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok di Balai Polis Jelawat, di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin dan Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaludin.
Tambah Muhammad Zaki, hubungan Ketua Polis Daerah dengan Ketua Jajahan, ADUN, pemimpin setempat dan pegawai kanan pelbagai agensi kerajaan mampu menjayakan matlamat ini.
Malah katanya, di peringkat kepimpinan dan akar umbi polis Kelantan dalam konteks bekerja dalam satu pasukan, menjana idea dan strategi secara bersama juga akan menjayakan matlamat keamanan dan ketenteraman di negeri ini. – UTUSAN