KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan meningkatkan kawalan dan tinjauan di kawasan pantai dan pusat peranginan bagi memantau kawasan berisiko yang menjadi tumpuan ketika musim cuti.
Pengarahnya, Zainal Madasin berkata, tumpuan itu akan diberikan di kawasan percutian termasuk pantai, air terjun dan kawasan gunung yang menjadi tumpuan di negeri itu terutamanya di ketika musim cuti.
Beliau berkata, cuti persekolan akan bermula minggu hadapan, maka di Kelantan pada kebiasaanya orang ramai akan tertumpu dengan aktiviti mandi di kawasan pantai, air terjun dan pendakian, maka pihaknya akan menjalankan pemantauan terhadap aktiviti orang ramai di kawasan berkenaan.
“Ini bagi memastikan jika berlaku kes-kes kecemasan seperti lemas, terkandas dan orang hilang kita dapat membantu dalam misi menyelamat, perkara ini perlu diberi perhatian memandangkan kini cuaca juga tidak menentu dan ada kalanya berlaku hujan di sesetengah tempat pada waktu petang.
“Kami akan sentiasa lihat pergerakan orang ramai termasuk pelancong, terhadap aktiviti yang dilakukan ketika musim percutian memandangkan Kelantan sekali lagi menjadi tumpuan termasuk perantau untuk pulang ke kampung sekaligus akan bercuti di kawasan-kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita selepas hadir pada Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri JBPM Negeri Kelantan di Dewan Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong, hari ini.
Zainal berkata tindakan itu merupakan langkah proaktif pihaknya bagi mengurangkan kes-kes kecemasan terutamanya melibatkan kemalangan jiwa.
“Kita bukan sahaja memberi tumpuan berhubung kes kebakaran,malah anggota kami akan berada di kawasan berisiko bagi memastikan keadaan terkawal dan selamat.
“Pemantauan itu akan dilakukan mengikut pengiliran bekerja dan sekiranya tujuh orang anggota kami bertugas di bilik kawalan mungkin dua atau tiga orang akan melakukan pemantauan dengan menggunakan kenderaan jabatan untuk ke lokasi berisiko itu,” katanya. – UTUSAN