GEORGETOWN: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memohon semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kes kematian seorang doktor praktikal (houseman) di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang ditemukan jatuh dari bangunan kediamannya pada 17 April lalu.
Pengarahnya, Dr. Ma’arof Sudin berkata, kes itu kini di bawah siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut mengarahkan bedah siasat ke atas mangsa dijalankan.
”JKNPP mengesahkan mendiang adalah seorang Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri ke Pulau Pinang dan ditempatkan di HPP pada 4 April lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, seorang doktor pelatih yang menjalani latihan di HPP dilaporkan maut akibat terjatuh selepas mayatnya ditemukan di pekarangan bangunan di Jalan Datuk Keramat, di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes itu disiasat sebagai mati mengejut.
Mengulas lanjut, Ma’arof berkata, bedah siasat dilakukan di Jabatan Forensik HPP dan masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal untuk laporan lengkap siasatan.
”Laporan akhir akan dikemukakan kepada pihak PDRM untuk membantu siasatan mereka.
”Memandangkan kes ini masih dalam siasatan polis dan bagi menghormati keluarga mendiang, JKNPP memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian ini,” katanya.
Tambahnya, JKNPP dan HPP akan memberi kerjasama penuh kepada PDRM dalam siasatan selanjutnya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin turut berharap Kementerian Kesihatan dapat memberi penjelasan berkaitan kes itu dan situasi yang dialami oleh para doktor di HPP.
”Saya pernah membangkitkan tentang tempoh masa kerja yang tidak logik membabitkan profesion seorang doktor yang pernah dihadapi oleh ahli keluarga saya sebelum ini.
”Ahli keluarga saya ini (seorang doktor) berdepan dengan 27 kemalangan kerana dia letih dan lesu, dia terselamat namun rakannya meninggal dunia, malah saya teringat terdapat kes seorang doktor maut kerana membunuh diri,” katanya menerusi Facebook di sini hari ini. – UTUSAN










