PUTRAJAYA: Universiti perlu memasyarakatkan institusinya dengan tidak menjadikannya seperti ‘pulau’ yang terasing sehingga masyarakat tidak merasa kewujudannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, universiti ialah tempat percambahan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi melahirkan modal insan menerusi pengajaran dan pembelajaran selain menjalankan penyelidikan, inovasi untuk memastikan kemajuan masyarakat dan negara.
Bagaimanapun, katanya, dalam usaha universiti ghairah mencipta nama di dalam dan luar negara menerusi penyelidikan yang dilakukan, perlu diingat segala bentuk penemuan sama ada berbentuk fizikal, jurnal atau kemahiran perlulah dikongsikan dengan masyarakat.
“Perkongsian ini tanpa mengira lapisan masyarakat supaya manfaat yang diperoleh itu dapat dinikmati bersama, diaplikasikan dalam kalangan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya semalam.
Beliau berkata demikian selepas sesi pertemuan delegasi Kementerian Pengajian Tinggi dengan wakil Imperial College yang diketuai Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di London.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, dalam usaha menjadikan universiti di negara ini lebih hebat kualitinya, dapatan penyelidikan perlulah dimanfaatkan bersama.
Beliau berkata, sekiranya perkongsian dengan masyarakat aktif berlaku, segala bentuk perkembangan yang diusahakan universiti akan dapat dirasai semua seterusnya membantu meningkatkan kemajuan negara secara holistik.
Katanya, kita tidak mahu istilah universiti sebagai ‘menara gading’ itu menjadi tempat yang terlalu eksklusif sehingga tidak boleh dikongsikan hasil dapatannya dengan masyarakat.
“Dunia hari ini berasaskan ilmu pengetahuan, maka masyarakat yang tidak mementingkan ilmu pengetahuan dan inovasi akan terus ketinggalan. Malaysia yang ingin mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 perlulah mementingkan budaya perkongsian ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat dan universiti perlu menjuarainya. – UTUSAN










