PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengeluarkan Takwim 2022 Miladiah/1443-1444 Hijriah Bagi Malaysia (edisi kemas kini Syawal 1443H).
Ketua Komunikasi Korporatnya, Zakaria Othman berkata, takwim yang dikemas kini itu dikeluarkan susulan perubahan tarikh 1 Syawal 1443H yang diisytiharkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja baru-baru ini.
“Perubahan ini hanya melibatkan Mei 2022/Syawal 1443H manakala bulan-bulan yang lain tidak terlibat dengan perubahan ini. Takwim ini boleh dirujuk di dalam laman web JAKIM https://www.e-solat.gov.my/,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, Jakim berharap agar takwim tersebut dapat membantu melancarkan lagi penyusunan aktiviti harian, ibadat dan urusan kehidupan umat Islam di negara ini.
Sebelum ini, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menetapkan tarikh 1 Syawal jatuh pada Isnin, 2 Mei 2022 berbanding Takwim 2022 yang dikeluarkan sebelum ini bertarikh 3 Mei 2022. – UTUSAN