KITA sudah pun melampaui dua minggu Syawal. Sambutan kali ini akan dikenang bukan sahaja disebabkan selepas dua tahun berada dalam keadaan pandemik, juga pengisytiharan tarikh hari raya tidak sama seperti tercatat dalam takwim.
Spekulasi menjadi hangat apabila peminat-peminat ilmu falak yang mengetahui kaedah penerbitan maklumat kedudukan anak bulan daripada laman sesawang tidak menyedari yang syarat kenampakan sudah diubah mulai Muharram 1443H (Ogos 2021). Tambahan pula semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, sekumpulan ahli falak amatur telah memperbaiki teknik cerapan optikal anak bulan.
Keputusannya, selain tempat tradisi cerapan di Teluk Kemang, rekod kenampakan juga dirakamkan dengan baik di Labuan dan Miri. Penjejak anak bulan di Malaysia menyertai rakan amatur mereka di Indonesia melakukan cerapan hampir setiap bulan. Rekod kenampakan anak bulan ini dijangka menjadi data penting untuk kajian semula di Malaysia mahupun global.
Sama ada secara sinis kita boleh menyatakan rekod kenampakan anak bulan di Labuan hampir ‘mengesahkan’ penggunaan syarat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), namun pengesahan ini dibatasi oleh kenyataan ‘kegagalan hisab menyamai keputusan rukyah’ apabila tarikh pada takwim tidak sama dengan keputusan melihat anak bulan. Begitu juga kita diminta meraikan kepelbagaian sama ada berpuasa 29 atau 30 hari, kedua-duanya dikatakan berada dalam kaedah rukyah dan hisab.
TAKWIM SEBAGAI MEKANISME
Manusia belajar mengguna dan menyusun takwim berdasarkan keperluan mereka mengukur julat masa. Untuk memasyarakatkan takwim dari segi pelaksanaan dan keberkesanannya, mekanisme agama, sains dan sosial menjadi unsur penting. Penyelidikan dan produk takwim tidak akan berkesan sekiranya yang disusun bercanggah dengan kehendak fiqah atau paparan tarikh tidak sama dengan fasa bulan di langit atau sekurang-kurangnya sepadan dengan keputusan melihat anak bulan.
Maka ketidakpatuhan ini menjadikan takwim tidak dapat diterima oleh masyarakat menjadi polemik yang memberi kesan terhadap kemaslahatan hidup dan aktiviti ekonomi. Dengan ini, takwim bukan semata-mata hasil saintifik tetapi telah dianggap sebagai satu ikatan yang menjalin hubungan rapat antara ibadat dan kegiatan sosial.
Selain itu, takwim berkesan juga perlu mempunyai mekanisme penyelarasan yang objektif dan mudah pula digunakan oleh masyarakat. Menjangkakan kenampakan pertama anak bulan merupakan satu tugas rumit bagi ahli-ahli sains takwim, kriteria kenampakan yang baik mesti berdasarkan kepada semua unsur saintifik yang berkaitan sifat fizikal bulan dan kesan atmosfera bumi.
Melalui kajian data rukyah yang diperoleh bagi suatu tempoh masa yang lama, analisis saintifik sifat fizikal bulan dan parameter bagi kenampakan pertama anak bulan digubal. Menggunakan sejumlah sampel data kenampakan anak bulan yang berjaya dicerap dan yang tidak boleh dicerap, ahli-ahli falak membuat rumusan kuantiti bagi parameter kenampakan pertama anak bulan yang boleh kelihatan.
Fasa bulan bermula dengan ijtimak di mana dalam astronomi takwim, ditafsirkan sebagai permulaan proses pemisahan antara fasa bulan lama dengan bulan baharu.
Proses pemisahan ini mewujudkan sekurang-kurangnya tiga parameter sifat bulan, iaitu ketinggian di atas ufuk, perbezaan sudut arah bulan berbanding matahari atau perbezaan azimut dan jarak sendeng bulan ke matahari atau sudut elongasi. Nilai sudut elongasi juga akan mempengaruhi saiz bahagian bulan yang bercahaya yang boleh dilihat dari bumi sebagai anak bulan.
Selain itu, tempoh masa antara ijtimak dengan matahari terbenam yang ditakrifkan sebagai umur bulan boleh juga menjadi justifikasi sifat bulan. Berapa lama pula bulan berada di atas ufuk selepas waktu matahari terbenam memberi gambaran potensi kenampakan anak bulan berbanding kesan kecerahan langit. Dengan makna lain, kedudukan anak bulan perlu cukup tinggi supaya apabila langit semakin gelap, anak bulan masih berada di atas ufuk.
Setiap parameter ini akan dihitung kuantiti ketika matahari terbenam pada hari rukyah. Kuantiti ini secara langsung menunjukkan kematangan fizikal bulan yang seterusnya boleh dibuat penilaian sama ada anak bulan boleh kelihatan atau tidak.
Anak bulan merupakan bulan sabit selepas ijtimak yang pertama kali kelihatan atau memenuhi syarat boleh nampak. Fasa cahaya anak bulan Syawal 1443H yang kelihatan di Labuan pada 1 Mei lalu, satu per 10 lebih halus daripada imej anak bulan ini.
CABARAN SELEPAS PENENTUAN SYAWAL 1443H
Setelah menggunakan syarat kenampakan anak bulan 1991, Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) dari 12 hingga 14 November 2019 bersetuju menggunakan kriteria baharu. Anak bulan dianggap ada dan boleh kelihatan apabila hitungan falak memenuhi syarat berikut – ketika matahari terbenam, ketinggian anak bulan tidak kurang tiga darjah dan elongasi bulan ke matahari tidak kurang daripada 6.4 darjah. Penggunaan syarat ini untuk penyusunan takwim Hijri di Malaysia dimulakan pada awal Muharram 1443H.
Beberapa kajian terdahulu dan rekod di Malaysia tidak menunjukkan adanya sejarah kenampakan anak bulan pada ketinggian tiga darjah, kecuali beberapa salah faham dalam membezakan antara waktu kenampakan pertama dengan kuantiti ketika waktu matahari terbenam.
Mengandaikan ketinggian tiga darjah waktu mula kelihatan itu sebagai syarat kenampakan anak bulan adalah bercanggah dengan tafsiran fiqah mengenai ‘kemungkinan boleh nampak.’ Sebaliknya semua rekod kenampakan anak bulan di Malaysia menunjukkannya berpotensi kelihatan apabila ketinggiannya menghampiri lima darjah ketika matahari terbenam.
Mungkin rekod kenampakan anak bulan Syawal 1443H boleh menjadi datum baharu syarat minimum. Oleh sebab cerapan anak bulan secara optikal telah diterima dari segi syarak, maka pencerap di semua stesen cerapan perlu dilatih secara ulang tubi dan mempunyai keyakinan sama ada untuk menerima atau menolak jaluran halus yang kelihatan dalam skop pandangan mereka sebagai anak bulan. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Baharrudin Zainal ialah Pensyarah di Institut Penyelidikan Produk & Ketamadunan Melayu Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).










