Ijazah Kehormat Doktor Perubatan Universiti Nihon tidak perlu dipertikai

Ijazah Kehormat Doktor Perubatan Universiti Nihon tidak perlu dipertikai – MQA

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Perubatan daripada Nihon University sebagai mengiktiraf usaha dan sumbangannya dalam memerangi pandemik COVID-19, baru-baru ini.

Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam satu kenyataan hari ini menyebut, status Nihon University yang menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Perubatan kepada Perdana Menteri, tidak perlu dipertikai kerana institusi itu merupakan universiti terkemuka di Jepun.

“Ijazah kehormat mempunyai nilai tersendiri yang dianugerahkan oleh universiti termasuk universiti terkemuka di dunia seperti di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Australia dan negara maju lain. 

“Dari segi amalan, ia merupakan penganugerahan berprestij kepada seseorang tokoh terpilih atas sumbangan besar dalam bidang tertentu, misalnya ahli akademik, pakar industri, aktivitis masyarakat serta pemimpin negara termasuk dari Malaysia,” katanya hari ini. 

Kenyataan itu menyebut, MQA melaksanakan proses pengesahan pengiktirafan kelayakan luar negara berasaskan status pengiktirafan negara asal bagi kelayakan yang tidak tersenarai dalam sistem kami.

“Perkara ini seperti yang terkandung dalam Surat Pekeliling MQA Bil. 6/2019: Mekanisme Baharu Pengiktirafan Kelayakan Luar Negara yang boleh diakses pada pautan https://www.mqa.gov.my/pv4/recognition.cfm,” katanya.

Selasa lalu, Ismail Sabri menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Perubatan dari Universiti Nihon, yang juga antara universiti swasta terkemuka dan tertua di Jepun.

Anugerah berkenaan disampaikan Dr Naoto di universiti berkenaan di bandar raya Itabashi, satu daripada pusat bandar yang terletak dalam metropolis Tokyo, ketika Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jepun selama enam hari.

Bagaimanapun, timbul pertikaian dalam kalangan warga maya di Malaysia seperti yang dilaporkan portal berita tempatan mengenai status pemberi ijazah kehormat berkenaan yang mendakwa institusi itu tidak diiktiraf MQA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN