GEORGETOWN: Polis menahan dua wanita iaitu ibu kandung dan nenek saudara kepada pasangan adik-beradik yang disyaki menjadi mangsa kes dera di sebuah flat di Air Itam, di sini hari ini.
Suspek berusia 28 dan 52 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) kira-kira pukul 11.15 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, tangkapan ke atas kedua-dua suspek terbabit dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan di Balai Polis Air Itam, kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Menurutnya, laporan tersebut berkaitan satu hantaran di media sosial Facebook mengenai gambar dua anak-kanak yang sedang makan di sebuah restoran dengan kesan kecederaan pada bahagian muka.
“Pengadu membuat laporan polis kerana mengesyaki kedua-dua kanak-kanak berkenaan berkemungkinan mangsa kepada penderaan. Hasil serbuan dan pemeriksaan polis di sebuah rumah flat telah berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak perempuan dan lelaki yang masing-masing berusia lima dan tiga tahun.
“Dalam serbuan tersebut, kita juga menahan dua wanita tempatan iaitu ibu dan nenek saudara mangsa bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Soffian memberitahu, pemeriksaan awal pada tubuh badan kedua-dua mangsa terbabit telah menjumpai kesan luka dan lebam pada bahagian muka dan badan disyaki akibat penderaan.
“Mangsa akan dirujuk ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta KanakKanak 2001 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya,” tambahnya. – UTUSAN











