PETALING JAYA: Langkah kerajaan menghapuskan permit import (AP) bahan makanan tidak mampu mengatasi masalah kenaikan harga walaupun ramai berpandangan keputusan diambil bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi, Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata, tidak dinafikan AP patut dihapuskan, sebaliknya kenaikan harga buat masa sekarang disebabkan kekurangan bekalan akibat harga kawalan yang lebih rendah daripada kos.
Menurut beliau, para pengeluar kini mengalami kerugian kerana harga dikawal rendah daripada kos dan menyebabkan mereka tidak mahu menternak sehingga berlakunya kekurangan penawaran.
“Jadi untuk mengawal harga supaya tidak melambung tinggi pada masa sama kos juga tinggi, kerajaan perlu memberi subsidi kepada pengeluar. Jika tidak, akan ada masalah.
“Hal ini kerana salah satu penyumbang kekurangan bekalan adalah harga kawalan yang lebih rendah daripada kos. Oleh itu, para pengeluar kerugian jika harga dikawal rendah daripada kos dan mereka tak ternak. Penawaran pun kurang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kabinet sebelum ini bersetuju agar AP bahan makanan seperti gandum dibatalkan sebagai susulan daripada pengumuman kerajaan sebelum ini yang berkaitan pemansuhan AP bahan makanan.
Malah Nungsari menjelaskan, langkah menghapuskan AP tidak semestinya mengurangkan harga jika kenaikan harga di peringkat global seperti yang berlaku sekarang meskipun usaha kerajaan itu ingin membuka ruang import dan membolehkan semua barangan dibawa masuk.
Katanya, penghapusan AP tidak bermakna semuanya boleh masuk apabila perlu ada pemeriksaan bagi memastikan barangan dibawa memenuhi piawaian.
“Kos pentadbiran mungkin bertambah tetapi bekalan boleh bertambah. Tetapi kalau harga di luar negara pun tinggi, ia tidak akan menyelesaikan masalah harga sekalipun,” katanya.
Pada masa sama, Nungsari bersetuju semua AP perlu dimansuhkan dan bukan saja melibatkan bahan makanan memandangkan kebanyakan pemegang AP tidak terlibat dalam perniagaan.- UTUSAN










