'Hantu laksa' 6 minit habiskan sekilo laksa

‘Hantu laksa’ ratah sekilo laksa dalam masa 6 minit

MUHAMMAD  Anuar Abd Ghoni peserta menghabiskan sekilogram laksa pada Cabaran 'big bowl' Laksa sempena Temasya 99 Laksa Kuale di Arena Kuala Kangsar, Perak, semalam. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Seorang penggemar laksa sanggup memandu kereta sejauh 135 kilometer untuk menyertai cabaran ‘big bowl’ laksa sempena program Temasya 99 Laksa Kuale di sini semalam dan muncul pemenang pertandingan makan laksa.

Muhammad Anuar Abd. Ghoni, 29, dari Hutan Melintang membawa pulang hadiah wang tunai RM300 dan gelaran ‘hantu laksa’ selepas menewaskan peserta lain.

Pekerja swasta yang sering menyertai pelbagai pertandingan menghabiskan makanan itu berjaya menghabiskan sekilogram laksa yang diletakkan dalam besen kecil dalam tempoh enam minit.

Menurut Muhammad Anuar, ini merupakan kali pertama dia menyertai cabaran menghabiskan makanan itu dan tidak percaya dia mampu melicinkannya sepantas itu.

Katanya, kesedapan makanan itu yang disediakan penganjur menjadi faktor utama dia mampu menghabiskannya tanpa berhadapan sebarang masalah.

“Apabila wisel dibunyikan, saya terus ambil sudu dan suapan pertama laksa yang dihidangkan begitu sedap dan saya tersenyum sambil menghabiskannya tanpa melihat peserta lain.

“Apa yang saya dengar hanya suara orang ramai bersorak dan bila makanan saya semua sudah habis, saya lihat mereka bertepuk dan pengacara memaklumkan saya orang pertama berjaya menghabiskannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pertandingan di Arena Kuala Kangsar, di sini semalam.

Muhammad Anuar berkata, dia hanya menyertainya untuk mencari pengalaman sama seperti cabaran menghabiskan makanan yang disertainya sebelum ini.

“Ini kali pertama saya sertai cabaran makan laksa dan ia membuahkan hasil apabila saya menang. Bukan sahaja dapat wang tunai malah juga gelaran hantu laksa. Tidak sia-sia saya memandu dari Hutan Melintang ke Kuala Kangsar,” katanya

Temasya 99 Laksa Kuale dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) berikutan juadah berkenaan signifikan dengan daerah itu dirasmikan oleh Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN