Gantung serta-merta - Utusan Malaysia

Gantung serta-merta

Sejak 14 April lalu, akhbar ini mendedahkan berhubung status halal rumah penyembelihan haiwan itu yang diragui apabila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Digantung serta-merta.

Demikian penegasan kerajaan terhadap kelulusan diberikan kepada Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Aus­tralia sehingga satu hasil sia­satan menyeluruh diperoleh berhubung kes dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal pusat penyembelihan itu.

Perkara itu diputuskan sebulat suara dalam satu sidang khas antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE), Australia yang diadakan kelmarin.

Dalam satu kenyataan bersama, semalam, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff dan Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr. Mohd. Norlizan Mohd. Noor memaklumkan, pada masa sama, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan tersebut akan diberi surat tunjuk sebab.

Menurut kenyataan tersebut, SICHMA turut berdepan kemungkinan untuk dibatalkan status sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf Jakim sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Sejak 14 April lalu, akhbar ini mendedahkan berhubung status halal rumah penyembelihan haiwan itu yang diragui apabila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.

Laporan itu dibuat berdasarkan bukti rakaman video dan gambar menunjukkan haiwan-haiwan dilemaskan dalam taku­ngan darah binatang yang di­sembelih terdahulu dan haiwan itu mati akibat lemas bukannya kerana disembelih.

Ini termasuk pengakuan terbuka sumber uta­ma bekas pekerja yang juga penyembelih di syarikat rumah sembelihan itu yang tampil mengakui segala dakwaan yang didedahkan mempunyai bukti bergambar dan rakaman video yang dikongsi adalah benar.

Malah, Utusan Malaysia melaporkan gesaan tokoh-tokoh agama untuk menggantung sementara peng­importan daging di rumah sem­belihan TFI itu sementara menunggu siasatan menyeluruh dilaksanakan.

LAPORAN muka depan Utusan Malaysia mengenai isu rumah sembelih di Australia yang didakwa melanggar peraturan syariat Islam.

Bagaimanapun, dalam maklum balas kepada Utusan Malaysia, Rabu lalu, TFI menafikan sekeras-kerasnya segala dakwaan ditujukan terhadap syarikat rumah sembelihan di Lobethal, Australia itu.

Dalam pada itu, merujuk kepada kenyataan bersama JPV dan Jakim itu, kedua-dua agensi berkenaan memberi perhatian serius berkenaan dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal loji sembelihan di Australia yang telah mendapat kelulusan untuk mengeksport daging halal ke Malaysia.

“Jakim telah menjalankan siasatan ke atas loji sembelihan berkenaan dan mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak berkuasa Australia. Jakim juga telah mengatur pertemuan dengan Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat Malaysia (Pekemas) dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat lanjut,” jelas kenyataan itu.

Jakim dan JPV menegaskan, prosedur pengiktirafan loji pemprosesan luar negara oleh Kerajaan Malaysia adalah melalui satu prosedur yang ketat dan terperinci.

Hal ini kerana, proses pengiktirafan loji sembelihan dan loji pemprosesan luar negara dijalankan pengauditan secara sistematik oleh pegawai-pegawai terlatih JPV dan Jakim.

Mereka menjelaskan, proses pengauditan ke atas loji sembelihan yang dilaksanakan adalah secara berjadual menggunakan piawaian yang ditetapkan untuk kualiti dan keselamatan produk berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) di dalam Standard Malaysia untuk Good Manufacturing Practices (GMP) MS 1514:2009.

Ini termasuk mengikut Standard Malaysia untuk Titik Kawalan Kritikal Analisis Berbahaya (HACCP) MS 1480:2018, selain Arahan Prosedur Tetap Veterinar Malaysia (APTVM)23(h):1/2014 (Pengauditan Loji Sembelihan dan Loji Pemprosesan).

“Bagi aspek pematuhan halal pula, ia mengguna pakai Malaysia Standard Halal Food – Pengeluaran Penyediaan , Pengendalian dan Penyimpanan – Garis Panduan Umum (MS1500:2009) dan Malaysian Protocol for The Halal Meat and Poultry Production.

“Proses kelulusan pula perlu melalui sebanyak empat kali pembentangan dan penilaian sebelum keputusan diberikan. Pembentangan dan penilaian di peringkat Jakim adalah melibatkan Jawatankuasa Penilaian Pengiktirafan Halal Luar Negara dan Jawatankuasa Pengesahan Pengiktirafan Halal Luar Negara (JPPHLN),” katanya.

Selain itu, Jakim dan JPV memaklumkan, pembentangan dan penilaian seterusnya adalah di peringkat JPV dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) iaitu Jawatankuasa Teknikal Pengiktirafan Abatoir & Loji Pemprosesan Luar Negara (JTPALLN) dan Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Import dan Eksport Keluaran Pertanian (JKEIP) peringkat MAFI.

Selepas kelulusan diperoleh katanya, pemantauan loji sembelihan dibuat oleh JPV, Jakim dan badan persijilan halal yang diiktiraf Jakim bagi memastikan standard dan prosedur Malaysia dipatuhi.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menegaskan, pihaknya sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan sebarang ketidakpatuhan kepada standard dan prosedur yang telah ditentukan Jakim dan JPV.

Jelas beliau, bagi melindungi kepentingan awam serta memberikan keadilan kepada semua pihak, siasatan secara menyeluruh dilaksanakan pihak Jakim bersama JPV termasuk pihak berkuasa Australia.

Beliau pada masa sama memberi jaminan, selaku badan pensijilan Halal, Jakim akan sentiasa menjaga amanah serta kepentingan umat Islam.

“Saya telah meminta Jakim serta agensi berkaitan untuk membuat siasatan menyeluruh dengan segera dan telus. Saya ingin menegaskan bahawa isu halal dan haram melibatkan pemakanan yang menjadi darah daging umat Islam adalah perkara yang sangat dititik berat dalam agama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya