PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik dijangka mengetengahkan elemen pengawalseliaan bagi semua pembiayaan dana buat parti-parti politik di negara ini.
Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Datuk Seri Mohd. Sallehhuddin Hassan berkata, elemen pengawalseliaan yang bakal diketengahkan dalam penggubalan itu menekankan prinsip akauntabiliti dan ketelusan dalam sumbangan politik.
Menurut beliau, skop dasar bagi RUU tersebut akan dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri sebelum mengadakan sesi libat urus dengan parti-parti politik.
“Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai AntiRasuah (JKKMAR) menyarankan sumbangan politik dilaksanakan dengan telus dan akan membawa cadangan pengawalseliaan sumbangan politik di mesyuarat Jemaah Menteri untuk diperhalusi.
“Sesi libat urus bersama parti politik dijangka dibuat pada tahun ini selepas perkara itu dibentang dan dipersetujui oleh Jemaah Menteri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Sallehuddin memaklumkan, pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi minggu hadapan, dipercayai berhubung akta Sumbangan Politik tersebut.
Media sebelum ini melaporkan, JKKMAR secara dasarnya bersetuju dengan cadangan pelaksanaan dasar penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan beliau dan bersetuju perkara itu perlu dibawa untuk perbincangan dalam Kabinet sebelum sesi libat urus dengan parti-parti politik.- UTUSAN










