KUALA LUMPUR: Majlis Peguam akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi membincangkan permasalahan dan dakwaan serangan ke atas Badan Kehakiman.
Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lynn berkata, EGM itu selaras dengan usaha pihaknya bagi melaksanakan tanggungjawab statutori mengikut Akta Profesion Undang-Undang 1976 untuk menegakkan keadilan tanpa rasa takut dan cenderung kepada mana-mana pihak.
Beliau berkata, butiran penuh EGM akan dimuktamadkan dan notis dikeluarkan hari ini kepada semua ahli Badan Peguam dan ia nanti membincangkan kemungkinan pilihan bakal kepada Badan Peguam dan membahaskan usul dikemukakan serta usul lain yang diterima dalam tempoh tujuh hari sebelum EGM oleh ahli.
“Saya menyedari terdapat petisyen oleh ahli untuk mengadakan perarakan menuntut keadilan dan mengambil segala langkah untuk membincangkan mengenainya, malah sebelum petisyen itu lagi. Sebenarnya, Majlis Peguam pada 29 April lalu sudah mengadakan mesyuarat untuk menangani isu ini apabila kami secara kolektif memutuskan untuk mengadakan EGM.
“Kami berharap ahli Badan Peguam di seluruh negara dapat hadir termasuk dalam kalangan presiden terdahulu untuk memberikan pandangan mengenai isu ini dan mengundi terhadap usul akan dibahaskan kerana ia amat penting untuk masa depan Badan Kehakiman sebagai sebuah institusi yang diperlukan serta penting,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dakwaan serangan ke atas Badan Kehakiman adalah berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Ghazali.
Nazlan adalah hakim yang mengenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Datuk Seri Najib Razak selepas mendapati bekas perdana menteri itu bersalah terhadap penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Dalam kenyataan pada 21 April lalu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan berkata, artikel ditulis penulis blog, Raja Petra Kamarudin bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’ yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas.
Katanya, ia juga berniat jahat bertujuan menjatuhkan kredibiliti Mohd Nazlan sebagai seorang Hakim Mahkamah Rayuan dan mengganggu sistem keadilan serta institusi kehakiman. – UTUSAN










