BUKIT MERTAJAM: Dua maut dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah lori tiga tan dan sebuah treler di Kilometer (KM) 8.6, Jambatan Pulau Pinang dari Perai menghala ke Gelugor, awal pagi tadi.
Mereka yang terbunuh ialah pemandu lori, Mohd. Fazrol Maarof, 39, dan kelindannya, Muhammad Amiruddin Azizan, 19, manakala pemandu treler, Ajit Singh S. Naranjan Singh, 54, dilaporkan terselamat.
Menurut jurucakap bomba, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.17 pagi tadi sebelum bergegas ke lokasi dengan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dan dibantu oleh anggota BBP Perai.
Katanya, apabila sampai di lokasi, didapati lori tersebut telah melanggar bahagian belakang treler berkenaan.
Pada masa sama katanya, pemandu dan kelindan lori didapati berada dalam keadaan tersepit di bahagian hadapan sebelum dikeluarkan oleh anggota yang bertugas.
“Kedua-dua mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang turut berada di lokasi manakala seorang lagi mangsa iaitu pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jurucakap tersebut memberitahu, anggota bertugas yang melakukan kerja-kerja penyelamatan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas menyelamat atau rescue tool.
“Mangsa pertama berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 5.55 pagi manakala mangsa kedua dikeluarkan tujuh minit selepas itu.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pukul 6.16 pagi,” katanya.- UTUSAN










