Dua mangsa penipuan kerja rugi lebih RM14,000  - Utusan Malaysia

Dua mangsa penipuan kerja rugi lebih RM14,000 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Dua individu yang mahu mencuba peluang pekerjaan secara dalam talian yang menjanjikan pulangan cepat dan lumayan melalui Facebook dan Instagram kerugian RM14,305 apabila ditipu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, mangsa pertama iaitu seorang perempuan berusia 23 tahun yang kini bekerja sebagai kerani telah kerugian sebanyak RM10,345.

Mangsa kedua iaitu seorang lelaki berusia 19 tahun yang masih belajar pula kerugian RM3,960 akibat terpedaya dengan tawaran itu.

Menurut beliau, modus operandi yang digunakan adalah dengan meminta mangsa memberikan maklumat peribadi seperti nombor, akaun bank dan salinan kad pengenalan kepada suspek sebelum mangsa diminta menyelesaikan tugasan yang diberikan.

“Mangsa seterusnya akan diminta membayar nilai barang yang diberikan dan dijanjikan akan mendapat pulangan serta komisyen antara 10 hingga 15 peratus.

“Pada tugasan pertama, mangsa mendapat pulangan yang dijanjikan, tetapi selepas itu mangsa diberikan tugasan seterusnya namun perlu membayar dengan jumlah lebih besar bagi mendapatkan pulangan lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Mohammad Shofee, mangsa menyedari ditipu apabila tiada pulangan yang dijanjikan dan suspek memberikan pelbagai alasan supaya mangsa membuat pembayaran lagi sekiranya inginkan komisyen.

“Setelah merasakan diri mereka telah tertipu, kedua-dua mangsa membuat laporan polis pada semalam,” katanya.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dengan sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan tidak wujud dan tidak menyerahkan maklumat peribadi dengan sewenang-wenangnya kepada orang tidak dikenali.

“Maklumat peribadi termasuk maklumat perbankan adalah sulit dan tidak sewajarnya diberikan kepada mana-mana pihak tanpa usul periksa hanya kerana terpedaya dengan janji-janji manis yang ditaburkan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN