KUALA LUMPUR: Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 akan turut dipinda bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu dapat dikuatkuasakan dengan lebih berkesan di negara ini.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata, pindaan itu perlu dilakukan kerana pindaan terhadap Akta DBP 1959 sahaja tidak mencukupi.
“Kita cuba atasi dengan pindaan Akta DBP seperti dihasratkan Perdana Menteri tapi pindaan itu perlu disokong dengan pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, itu antara cadangan daripada panel penasihat perunding DBP.
“Jadi, kita akan mencadangkan kepada kerajaan untuk turut memindanya supaya dia selaras dengan keperluan Akta DBP. Ini tidak semudah seperti yang kita sangka, tetapi insya-Allah, dengan adanya kemahuan politik maka kita akan dapat laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Forum Dunia Melayu Dunia Islam bersempena Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa pindaan Akta DBP 1959 akan dilakukan dalam waktu terdekat bagi memberi kuasa kepada DBP menjalankan penguatkuasaan undang-undang terhadap kesalahan penggunaan bahasa Melayu.
Katanya, ketika ini, banyak aspek bahasa Melayu ditinggalkan seperti nama-nama taman, kawasan perumahan dan jalan serta tulisan sedangkan perkara itu menjadi syarat.
Mengulas lanjut, Abang Sallehuddin menyifatkan pindaan tersebut akan membolehkan DBP berfungsi sebagai badan berkuasa bahasa.
Contohnya, katanya, setiap teguran DBP terhadap kesalahan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam seperti penggunaan nama bahasa Inggeris perlu dipatuhi oleh semua pihak.
“Maknanya jika pindaan akta ini diluluskan nanti, kita ada kuasa untuk menguatkuasakan peraturan-peraturan berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan selain daripada meneruskan fungsi asal iaitu membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan.
“Apabila DBP beri teguran, maka teguran itu jika dipersetujui Parlimen, maka teguran itu wajib atau perlu dipatuhi,” katanya. – UTUSAN