BANGI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disarankan lebih proaktif menambah baik aspek penguatkuasaan sebelum pentauliahan sebarang sijil halal premis di luar negara.
Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, isu itu amat sensitif dan boleh menyebabkan integriti Jakim dipertikaikan.
“Agensi ini sepatutnya sudah pun matang dan lebih proaktif dengan segera menyelesaikan sebarang kemelut bagi mengelak keraguan masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-19 Kolej Uniti Port Dickson yang melibatkan 853 graduan di Pusat Konvensyen Bangi Avenue, di sini hari ini.
Isu integriti Jakim mula mencetuskan persoalan ramai susulan pendedahan eksklusif Utusan Malaysia mengenai kesahihan sijil halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia.
Operasi premis itu pernah digantung Jabatan Perkhidmatan Veterinar kerana tidak mematuhi protokol ketat Jakim tetapi masih mengeksport daging dengan label halal diragui ke Malaysia.
Isu itu mengakibatkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat membuat laporan integriti Jakim kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Mengulas lanjut, Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, secara peribadi masalah status halal perlu dilihat secara holistik dan bukannya menyasarkan pihak tertentu.
“Saya suka menyatakan jika berlaku kes sebegini, kita kena pandang luas secara menyeluruh termasuk tempat lain juga yang terlibat sama untuk mengenal pasti punca sebenar,” katanya.
Beliau merujuk kes panas pernah tular pada akhir 2020 lalu membabitkan penemuan puluhan kontena berisi daging dengan label halal palsu di sebuah gudang sejuk beku terkenal di Johor.
Ketika itu, umat Islam menyalahkan pihak Jakim kerana membiarkan produk tersebut dibawa masuk tanpa diperiksa, namun akhirnya terbukti agensi berkenaan langsung tidak terlibat pun.
Bagaimanapun imej Jakim sudah tercalar teruk dan persepsi negatif itu menjejaskan kewibawaan agensi tersebut malah ada pihak bertindak biadab mahu Bahagian Hab Halal dimansuhkan.
Justeru, Zulkifli menegaskan beliau masih lagi yakin dengan integriti Jakim di sebalik banyak tohmahan liar dilemparkan masyarakat seolah-olah agensi itu tidak berbuat apa-apa. – UTUSAN