KUANTAN: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu bekerjasama membanteras dominasi kontraktor warga asing tidak berdaftar dan tidak berlesen yang ketika ini menguasai pasaran khususnya bagi pengubahsuaian premis persendirian.
Jika tidak dibanteras, dibimbangi berlaku kejadian tidak diingini kerana kontraktor dipilih tiada kemahiran dan pengetahuan secukupnya dengan standard pembinaan di negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Abd. Gapar Lambak berkata, seharusnya kerja-kerja ubah suai perlu mendapat kelulusan PBT.
Jelasnya, permohonan perlu disertakan spesifikasi dan pelan terlebih dahulu sebelum diluluskan serta dimohon oleh kontraktor berdaftar dengan CIDB dan mempunyai sub kepala B28.
“Untuk mendapatkan sub kepala ini, mereka perlu menjalani kursus lima hari dan perlu lulus peperiksaan.
“Justeru, kontraktor sebegini memang terlatih dan tahu segala aspek pengubahsuaian khususnya aspek keselamatan sebelum dan selepas pembinaan,” katanya di sini semalam.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan sektor pembinaan dan perusahaan di negara ini semakin dikuasai warga asing yang dilihat mula mengancam ‘periuk nasi’ kontraktor tempatan khususnya bumiputera.
Daripada 10,000 syarikat pembinaan berdaftar, hanya 20,000 warga asing yang masih terikat di bawahnya, manakala 200,000 hingga 300,000 atau 80 peratus lagi mengusahakan perniagaan sendiri dalam sektor berkenaan walaupun tidak memiliki kelayakan yang diiktiraf.
Kebanyakan mereka didakwa menawarkan kos pembinaan lebih murah selain mudah berunding berbanding kontraktor tempatan walaupun isu kualiti dan keselamatan hasil kerja tiada kelulusan dan spesifikasi ditetapkan pihak berkuasa.
Mengulas lanjut, Abd. Gapar yang juga Yang Dipertua PKMM Pahang berkata, pemilik bangunan atau premis perlu diberi kesedaran bahawa harga murah yang ditawarkan oleh pekerja asing bukanlah satu-satunya faktor yang harus diberi keutamaan sebelum sesuatu projek dilaksanakan. – UTUSAN