PADANG BESAR: Kemasukan pengembara Malaysia-Thailand melalui pintu sempadan antarabangsa di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar yang mula dibuka semalam dipermudahkan dengan kebenaran penggunaan pas sempadan.
Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan negeri, Ruzaini Rais berkata, pemegang pas sempadan boleh menggunakan kemudahan tersebut untuk pergi ke negara jiran.
Katanya, pemegang pas sempadan dari Perlis, Kedah, Kelantan dan utara Perak boleh menggunakan kemudahan itu untuk melawat lima wilayah Thailand iaitu Yala, Satun, Songkhla, Narathiwat dan Pattani.
“Antara syarat lain untuk menggunakan pas sempadan adalah lengkap dua dos vaksinasi dan terdapat kelonggaran diberikan iaitu tidak perlu lagi melakukan Reverse Transcriptase- Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sekiranya lengkap vaksinasi.
“Pemegang pas sempadan juga diberikan tempoh selama tiga hari untuk berada di negara jiran selain boleh berulang sekiranya mempunyai urusan harian di Thailand,” katanya ketika ditemui selepas melawat kompleks ICQS Padang Besar sempena hari pertama pembukaan pintu sempadan di sini hari ini.
Tambah Ruzaini, bagi pengembara yang menggunakan pasport untuk memasuki Malaysia, prosedur operasi standard (SOP) yang lama masih digunakan seperti pembukaan pintu sempadan pada 1 April lalu.
“Individu yang ingin memasuki negara ini menggunakan pasport (penduduk bukan dari wilayah tidak bersempadan dengan Malaysia) masih perlu membeli perlindungan insurans dan melakukan saringan kesihatan terlebih dahulu,” katanya.
“Kita menjangkakan dengan perkembangan terbaharu ini, akan berlaku peningkatan kemasukan pengembara dari kedua-dua negara melalui pintu sempadan Padang Besar,” jelasnya.
Mengikut statistik dikeluarkan, dari pukul 6 pagi sehingga 10 pagi, seramai 69 pengembara termasuk seorang warga Malaysia melintasi sempadan negara di Padang Besar. – UTUSAN