Blueprint Perumahan 3.0 tambah baik kebajikan warga ATM

Blueprint Perumahan 3.0 tambah baik kebajikan warga ATM

HISHAMMUDDIN Tun Hussein (belakang, tiga dari kiri) menyaksikan tiga penerima rumah di bawah program SASaR sempena prapelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan di galeri jualan Platinum South Valley, Bandar Tasik Selatan. – FOTO/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan memperkenalkan Blueprint Perumahan 3.0 iaitu agenda perumahan menyeluruh bagi menambah baik aspek kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk veteran serta ahli keluarga tentera.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, agenda itu dibentuk bersandarkan tiga objektif iaitu pembinaan, penyelenggaraan dan pemilikan, dengan 12,733 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) baharu akan dibina menerusi lima fasa dari 2023 hingga 2030.

Katanya, agenda itu mengutamakan penyelenggaraan dan naik taraf termasuk membekalkan perabot baharu, membina lebih banyak rumah mampu milik di bawah inisiatif Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) serta meliputi agenda perumahan warga veteran.

“Bina rumah ini bukan boleh buat sekelip mata, tetapi yang penting ketelusan. Kita tidak ada apa yang disembunyikan. Kita beritahu kepada semua mengenai agenda ini, jadi apa yang penting ialah kita mengikut agenda ini, supaya orang yakin apa yang diumumkan ini menjadi realiti, insya-Allah,” katanya selepas merasmikan prapelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan dan majlis menandatangani perjanjian jual beli rumah SASaR di Galeri Jualan Sateria Residensi Platinum South Valley, Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Ia merupakan kesinambungan Blueprint Perumahan 1.0 yang diperkenalkan pada 2017 sebelum Blueprint Perumahan 2.0, 2019.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan melancarkan Blueprint Perumahan 3.0, 14 Julai ini.

Dalam pada itu, seramai tiga individu mewakili tentera darat, udara dan laut dipilih penerima rumah SASaR di Kem Sungai Besi.

Nor Fatimah Ibrahim, 38, mengakui terharu apabila terpilih sebagai penerima selepas suaminya, Allahyarham Kapten Mansur Mahnul dari tentera udara meninggal dunia pada 9 Jun 2017.

“Macam mimpi apabila dapat rumah ini, saya tak pernah dapat rumah sebelum ini. Saya rasa lebih terjamin sebab anak-anak pun nak membesar,” katanya.

Sarjan Abdul Raset Maritus, 48, pula teruja apabila menerima rumah milik sendiri selepas bersara pada 2020, memandangkan sebelum ini beliau hanya menyewa sebuah rumah di Kuantan, Pahang dan tinggal bersama 13 orang anaknya.

Dalam pada itu, Laskar Kanan Komunikasi dari tentera laut, Siti Zura Azwanie Abdullah, 38, merasa dirinya bertuah kerana menerima rumah SASaR selepas menjadi ibu tunggal pada 2019.

“Saya tak sangka boleh dapat rumah ini, saya rasa amat bertuah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN