SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan campur tangan dalam isu kekurangan bekalan ayam yang dihadapi para pengguna termasuk di negeri ini.
Sebaliknya, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya menyerahkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam menentukan bekalan ayam mencukupi ke seluruh negara.
Katanya, kerajaan negeri juga tidak bercadang mengambil langkah jangka pendek seperti menggunakan tanah terbiar sebagai lokasi membina ladang ternakan ayam bagi mengatasi masalah berkenaan.
“Kami tidak mahu panjangkan isu ini. Kerajaan negeri tidak payah kacaulah. Kita ada menteri (Pertanian dan Industri Makanan) yang dilantik.
“Jika ayam jadi isu maka selesaikanlah. Jika ada isu import (ayam) selesaikanlah,” katanya kepada para pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah projek Rumah Mampu Milik Taman Kirby dekat Labu di sini hari ini.
Sementara itu, menurut Aminuddin, MAFI mempunyai peruntukan yang banyak bagi merancang dan menyusun tindakan bagi mengelak bekalan menjadi isu kepada orang awam.
Jelasnya, kerajaan negeri banyak membantu kerajaan Pusat dalam pelbagai projek berkaitan penyediaan bekalan makanan kepada rakyat.
“Contohnya, projek ternakan lembu National Feedlot Corporation (NFC) di Gemas melibatkan kawasan seluas lebih 1,500 hektar.
“Pengusaha telah diberikan peruntukan lebih RM200 juta tapi hasilnya entah ke mana. Sepatutnya projek ini telah menghasilkan lembu yang banyak,” katanya.
Aminuddin berkata, sehingga kini, kerajaan negeri masih menanggung masalah akibat daripada kegagalan projek tersebut. – UTUSAN