Beban guru penolong kanan dapat perhatian kementerian - Utusan Malaysia

Beban guru penolong kanan dapat perhatian kementerian

RADZI Jidin (tiga kiri) menyampaikan hadiah tajaan BSN kepada Tokoh Guru Kebangsaan 2022, Roslan Yatim pada sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2022 di UMK Kampus Bachok, hari ini. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Kementerian Pendidikan sedang membangunkan aplikasi e-Jadual dan menyelaraskan pangkalan data berpusat pengisian markah murid serta pelbagai pelaporan bagi membantu Guru Penolong Kanan Pentadbiran (GPKP) yang sebelum ini terbeban dengan tugasan mengajar dan pengurusan pentadbiran sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kemudahan itu akan dimanfaatkan lebih 10,000 sekolah di seluruh negara dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, sebelum ini GPKP terpaksa membina jadual tugasan mengajar secara manual dan sebahagian sekolah terpaksa membeli aplikasi daripada vendor tertentu dalam menyusun jadual tugasan mengajar mengikut mata pelajaran dan ikhtisas yang dimiliki guru.

“Ia bukan sesuatu yang mudah untuk disiapkan setiap penghujung tahun bagi persediaan awal persekolahan termasuk membina jadual anjal dengan bilangan guru yang ramai.

“Aplikasi e-Jadual yang dibangunkan akan memendekkan waktu membina jadual mengajar guru dengan hanya memasukkan bilangan opsyen guru mengajar, bilangan kelas dan tempoh masa yang boleh diproses secara automatik tanpa membebankan GPKP untuk memikirkan pembinaan kerangka sekiranya dibuat secara manual,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 Tahun 2022 di Universiti Malaysia Kelantan, Kampus Bachok, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid.

Tambah Radzi, jadual tugasan mengajar adalah nadi pendidikan sesebuah sekolah yang selama ini dibina secara manual hanya mampu disiapkan dalam tempoh yang panjang sudah tidak relevan dengan pembangunan dan perkembangan teknologi maklumat semasa.

Katanya, Kementerian Pendidikan juga akan menyelaraskan pangkalan data yang boleh diakses oleh semua jabatan pendidikan untuk mengelakkan pertindihan kerja yang sama di peringkat sekolah.

“Kita (Kementerian Pendidikan) yang turun ke sekolah mendapati kerja mengisi markah murid dilakukan sehingga dua tiga kali apabila diminta di peringkat Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sedangkan ia boleh dilakukan hanya sekali yang boleh diakses secara bersama.

“Sistem berpusat yang sedang dibangunkan ini turut melibatkan pangkalan data murid yang melibatkan permohonan bantuan awal persekolahan yang disiapkan oleh Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid juga dapat dilaksanakan hanya sekali tanpa pertindahan berulang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, Kementerian Pendidikan juga akan memastikan sekolah-sekolah tertentu yang dikenal pasti dinaikkan ke gred yang sepatutnya bagi mendapat manfaat bekalan tenaga pengajar dan peruntukan pembangunan berasaskan pertambahan bilangan murid semasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN