PETALING JAYA: Percaya atau tidak, sebanyak 70 peratus daripada 1,798 kes penderaan yang diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun ini pelakunya melibatkan ahli keluarga kanak-kanak itu sendiri.
Daripada angka dilaporkan, 1,306 kes adalah ahli keluarga melibatkan 2,114 kanak-kanak menjadi mangsa penderaan fizikal dan emosi akibat sikap panas baran serta tidak sabar.
Lebih mengejutkan, bapa kandung adalah ‘suspek’ tertinggi mendera mangsa iaitu 511 orang diikuti ibu kandung (470 orang), bapa tiri (119 orang), ibu tiri (47 orang) dan bapa atau ibu angkat (35 orang).
Ibu dan bapa saudara turut direkodkan antara pelaku yang dikesan iaitu 91 orang diikuti nenek (18 orang), datuk (10 orang), datuk saudara (tiga orang) dan nenek saudara (seorang).
Mendedahkan perkara itu kepada Mingguan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, daripada jumlah kes yang dilaporkan, sebanyak 50 peratus pelakunya adalah ibu bapa kanak-kanak itu sendiri manakala 20 peratus adalah ahli keluarga yang mempunyai pertalian dengan mangsa.
Kata beliau, meskipun trend kes penderaan kanak-kanak sepanjang tempoh itu menurun namun angka yang direkodkan masih berada di tahap membimbangkan.
Ini kerana, katanya, berdasarkan statistik, kes tertinggi dilaporkan adalah pada tahun lalu iaitu sebanyak 644 kes dengan melibatkan 759 kanak-kanak menjadi mangsa.
“Ia diikuti 2019 iaitu 534 kes dengan melibatkan 633 kanak-kanak yang menjadi mangsa selain 2020 (501 kes dengan 574 mangsa) manakala dua bulan pertama tahun ini (119 kes dengan 148 mangsa).
“Jumlah itu bermakna setiap hari dianggarkan dua kanak-kanak menjadi mangsa tempat ibu bapa atau penjaga lepaskan baran dan kemarahan melampau mereka,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut, kata Siti Kamsiah, daripada jumlah itu, pihaknya mendapati sebanyak 25 peratus pelaku adalah orang luar membabitkan pengasuh iaitu 505 kes manakala dua peratus lagi melibatkan guru sekolah dengan 35 kes sahaja direkodkan.
Bagaimanapun, katanya, tidak semua kes yang dilaporkan dan disiasat sebagai penderaan kanak-kanak ini adalah tulen penderaan kerana berdasarkan punca kejadian, ia menunjukkan ada elemen kecuaian dan kemalangan.
Jelas beliau, punca kemalangan iaitu jatuh katil semasa tidur, tersedak susu, sawan atau pendarahan dalam otak tanpa diketahui.
“Elemen kecuaian iaitu meninggalkan mangsa tanpa pengawasan sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa seperti jatuh kolam, sungai dan lain-lain serta cuai seperti tertinggal mangsa dalam kereta turut menyumbang kepada kes penderaan ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, kanak-kanak berusia dua tahun hingga lima tahun antara paling ramai menjadi mangsa dera dengan 887 orang direkodkan diikuti mereka yang umurnya kurang setahun iaitu 485 orang.
Jelas beliau, turut menjadi sasaran iaitu kanak-kanak berusia tujuh sehingga 12 tahun dengan 587 orang diikuti mereka berumur 13 sehingga 15 tahun (122 orang) dan 19 sehingga 18 tahun (33 orang).
“Golongan ini banyak menjadi mangsa dera memandangkan mereka ini tiada keupayaan untuk melawan,” katanya. – UTUSAN










