PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan pantas membawa pulang setiap sen dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau berkata, ini berikutan sikap tegas terhadap rasuah dan salah guna kuasa adalah cerminan integriti masyarakat yang tinggi. Ia tidak harus ada kompromi sama sekali dalam hal melibatkan integriti.
“Saya menyambut baik kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki terkait usaha untuk membawa pulang setiap sen dana 1MDB. Saya menggesa agar SPRM mengambil tindakan pantas mengenai isu ini kerana ia melibatkan sikap kita terhadap rasuah dan penyelewengan dana awam oleh penguasa perasuah.
“SPRM juga perlu terus membongkar dan bertindak ke atas petualang perompak dana rakyat tatkala pandemik menyerang sejak dua tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan, usaha untuk membawa pulangan setiap sen dana syarikat tersebut yang diseleweng masih belum selesai.
Azam dilapor berkata, pada tahun 2020, sejumlah RM14 bilion berjaya dituntut melalui kompaun dan penyelesaian daripada pelbagai pihak manakala RM5.11 bilion lagi diperoleh pada tahun lalu.
Menurutnya, sejak tahun 2018, kerajaan mempergiat pelbagai usaha untuk mengembalikan aset 1MDB termasuklah melakukan pendakwaan terhadap beberapa individu. – UTUSAN











