Anggota bomba selamatkan wanita cuba terjun Jambatan Pulau Pinang dihargai KPKT

Anggota bomba selamatkan wanita cuba terjun Jambatan Pulau Pinang dihargai KPKT

MUHAMMAD SYAHIR JAMALUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Ketangkasan seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyelamatkan seorang wanita yang dipercayai cuba bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang semalam, mendapat penghargaan dan pengiktirafan kerajaan.

Ucapan terima kasih kepada anggota berkenaan, Muhammad Syahir Jamaludin dizahirkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022 (SHAB 2022) di Dewan Millenium, di sini hari ini.

Mengulas situasi melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak berkenaan, Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, dalam setiap detik dan keadaan anggota JBPM merupakan kumpulan yang ‘pertama’ sampai untuk memberikan bantuan.

Tambah beliau, anggota JBPM juga dengan rasa penuh rela meminggirkan dan melupakan kepentingan diri sendiri bagi mendahulukan nyawa orang lain yang mesti diselamatkan.

“Ini semua bukanlah “stage performance”, dibuat-buat atau dilakonkan. Ia adalah real-life situation (kejadian sebenar), saat-saat cemas yang boleh terjadi pada bila-bila masa, terhadap sesiapa sahaja.

“Kebakaran, lemas, hilang serta apa jua situasi yang boleh mengancam nyawa,” katanya.

Dalam pada itu, penghargaan sama turut dirakam Reezal Merican kepada anggota JBPM yang ketika ini sedang bergelut mengurus mangsa-mangsa banjir di Lawas, Sarawak serta di Lahad Datu, Sabah.

Tidak ketinggalan, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Wira Merah yang telah bergadai nyawa demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat Malaysia.

Antaranya, Allahyarham Mohd. Fatah Hashim, Izzatul Akma Wan Ibrahim, Mazlan Omarbaki, Yahya Ali, Adnan Othman dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari yang gugur ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Puchong.

Tidak ketinggalan ialah Allahyarham Mohd. Diya Che Noh yang meninggal dunia ketika operasi penyelamatan mangsa banjir di Melaka dan Allahyarham Mohd. Firdaus Sulaiman yang terkorban ketika operasi pemadaman di Segamat, Johor.

“Pemergian dan pengorbanan mereka ini pastinya sangat mulia dan tidak ternilai oleh kita.

“Kisah mereka mungkin tidak luas berkumandang, namun inilah dia antara Wira Merah Malaysia yang jarang didendang.

“Sama-samalah kita berdoa ke hadrat Allah SWT agar semua para wira kita ini ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN