Ambil pengajaran krisis global - Raja Zarith

Ambil pengajaran krisis global – Raja Zarith

RAJA Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menyampaikan ijazah kepada graduan sempena Majlis Konvokesyen ke-65 UTM di Skudai, Johor Bahru, hari ini. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah agar masyarakat mesti sentiasa mengambil tahu pelbagai perkembangan yang sedang berlaku bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

Titah baginda, sebagai warga global semua perlu sentiasa mendapatkan perkembangan dan berita terkini tentang masalah yang dihadapi rakyat di negara-negara yang berdepan konflik dan krisis kemanusiaan.

“Misalnya negara yang berdepan konflik bersenjata, dilanda kemarau atau bencana alam seperti taufan dan gempa bumi, ketidakstabilan politik serta mengalami masalah sosial yang serius. Maklumat itu boleh diperoleh dengan mengikuti laman web International Federation of Red Cross (IFRC) dan Red Crescent Societies yang memberikan informasi terkini dan pergolakan yang sedang berlaku.

“Laman ini memberi maklumat terkini tentang negara-negara di mana perang telah meletus, isu sosial yang serius dan paling menyayat hati mereka yang terpaksa meninggalkan rumah dan hidup sebagai pelarian di negara lain selama bertahun-tahun,” titah Baginda pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-65 di UTM Skudai, di sini hari ini.

Turut hadir, Pro Canselor UTM, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam; Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

Raja Zarith yang juga Canselor UTM bertitah, tragedi global terbaharu yang mengejutkan adalah insiden wartawan Palestin, Shireen Abu Akleh yang ditembak mati tentera Israel di Jenin di Wilayah Palestin, Rabu lalu.

“Kepada pelajar Palestin yang akan menerima ijazah kedoktoran pagi ini, saya mengucapkan simpati kepada anda dan rakyat Palestin. Sepanjang Ramadan, terutamanya pada 10 malam terakhir yang dianggap sangat diberkati, kita amat sedih, terkejut dan seram melihat rakaman video pencerobohan terhadap mereka yang solat di Masjid Al-Aqsa. 

“Saya harap saya akan berpeluang untuk bertemu dengan anda dan semua pelajar asing yang lain supaya anda boleh memberitahu saya pengalaman yang anda dan keluarga perlu lalui,” titah Baginda.

Raja Zarith juga mahu penuntut tempatan mengeratkan silaturahim dengan penuntut dari negara bergolak seperti Somalia dan Sudan kerana mereka adalah tetamu walaupun belajar di negara ini.

“Semoga dengan ikatan persaudaraan yang dijalin, kita akan lebih memahami cabaran hidup dihadapi mereka serta lebih menghargai kemakmuran di Malaysia,” titah Baginda.

Sementara itu, Ahmad Fauzi berkata, seramai 5,672 graduan menerima ijazah pada konvokesyen kali ini dengan 502 graduan antarabangsa dari 40 negara terutama Indonesia, Nigeria dan Iraq yang merupakan bilangan graduan luar tertinggi.

“Istimewanya kali ini Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani menerima ijazah doktor falsafah dalam bidang Pendidikan, Pentadbiran dan Pembangunan Tanah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya