IPOH: ‘Tak sempat beli baju raya, cadang hari ini baru nak beli tapi rupanya sudah raya’.
Itu kata beberapa pelanggan yang membeli baju raya pada saat akhir di sebuah pusat beli-belah di sini malam tadi berikutan pengumuman Hari Raya Aidilfitri disambut pada Isnin.
Mereka tidak menyangka Aidilfitri disambut sehari lebih awal daripada yang dijangkakan.
Mereka sebenarnya bercadang untuk membeli baju raya pada hari ini kerana menyangka masih berpuasa.
Seorang pembeli yang hanya mahu dikenali sebagai Asyiqin, 24, berkata, dia terkejut apabila diumumkan hari raya disambut hari ini.
Katanya, sebelum ini dia tidak sempat membeli baju raya kerana bekerja.
Menurutnya, kebetulan semalam dia berbuka puasa di pusat beli-belah berkenaan dan terus mencari baju raya sebaik diumumkan hari raya disambut hari ini.
“Kelam-kabut juga untuk mencari baju raya pada saat akhir apatah lagi keadaan di sini terlalu sesak dengan pelanggan yang juga mencari baju raya.
“Saya kemudian dapat mecari baju raya sesuai dengan saya namun saya tak jadi beli sebab tak sanggup beratur untuk membuat pembayaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati pusat beli-belah itu sesak dengan pelanggan yang membeli baju raya berikutan pengumuman 1 Syawal. – UTUSAN