JOHOR BAHRU: Ahli politik yang mahu kekal relevan dalam kancah politik tempatan perlu bijak mengimbangkan pengalaman dan juga pendidikan akademik bagi memberi perkhidmatan lebih berkesan kepada rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu di Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata, keperluan meningkatkan ilmu pengetahuan adalah selari dengan perkembangan semasa dunia ketika ini.
Menurut beliau, walaupun seseorang individu telah ‘berjaya’ dalam dunia politik, namun masih sentiasa ada ilmu pengetahuan baharu yang boleh dipelajari.
“Ketika awal pandemik Covid-19 pada 2020, pergerakan kita banyak terbatas jadi saya membuat keputusan untuk menyambung pengajian setelah kali terakhir mendapat ijazah pada awal 1990-an. Jadi bermula dari situ, saya komited untuk menyambung pengajian dengan hasrat untuk berupaya memberi perkhidmatan lebih berkesan kepada masyarakat,” katanya selepas menerima Sarjana Profesional Sains Politik sempena Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-65, di sini hari ini.
Tambah Joniston yang sudah menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan selama tiga penggal, pengalaman dan pendidikan teori jika digabungkan akan memberi nilai tambah bukan sahaja terhadap seseorang ahli politik, tetapi kepada semua pihak.
“Memang ada ahli politik berjaya tanpa pendidikan kerana komitmen mereka dalam berkhidmat, malah ada juga mereka yang berpendidikan tinggi tetapi tidak berjaya dalam dunia politik. Tetapi situasi terbaik adalah seorang ahli politik yang bukan sahaja komited dalam berkhidmat kepada rakyat malah turut mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan melalui pembelajaran secara akademik,” jelasnya.
Sementara itu, beliau juga tidak menolak untuk menyambung pengajiannya ke peringkat lebih tinggi sekiranya keadaan mengizinkan.
“Hasrat untuk sambung pengajian lagi memang ada tetapi itu perlu bergantung kepada keadaan terlebih dahulu, sebagai ahli politik dan wakil rakyat saya perlu berkhidmat kepada masyarakat setempat, itu yang utama,” jelasnya. – UTUSAN