200,000 penduduk di Kota Setar, Pokok Sena tiada air - Utusan Malaysia

200,000 penduduk di Kota Setar, Pokok Sena tiada air

Sebuah jentolak menjalankan kerja-kerja pembelatan bagi menakung air yang melimpah akibat ban dan terusan tengah yang pecah di Struktur Alor Limpah Sungai Santap, Pelubang pada 10 Mei 2022. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lebih 200,000 penduduk di daerah Kota Setar dan Pokok Sena di sini me­ngalami gangguan bekalan air selepas ban Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di Terusan Tengah, Pelubang pecah kelmarin.

Gangguan itu menyebabkan aktiviti harian penduduk terjejas hingga terpaksa mencari pilihan lain bagi mendapat bekalan air untuk kegunaan harian.

Nor Bahyah Mustaffa, 56, dari Taman Baharu, Pokok Sena berkata, ketiadaan bekalan air sejak petang kelmarin menyebabkan dia tidak dapat memasak untuk berniaga semalam.
Pada mulanya, dia me­ngesyaki gangguan bekalan air itu berlaku disebabkan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) membaiki paip di kawasan itu.

“Selepas dimaklumkan bekalan air terputus kerana ban Mada pecah saya mulai gelisah kerana tidak sempat menyimpan air untuk kegunaan harian. Banyak pakaian hari raya serta pinggan mangkuk belum dibasuh lagi.

“Bimbang keadaan ini bertambah serius suami saya telah pergi ke pasar raya berdekatan untuk membeli air mineral untuk minum dan memasak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kelmarin, SADA memaklumkan lebih 75,000 akaun pengguna di daerah Pokok Sena dan Kota Setar berdepan masalah gangguan air berikutan ban Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan terusan te­ngah di Pokok Sena pecah.

Infografik SADA menerusi Facebooknya memaklumkan, dua Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas bagi memberi laluan kepada kerja-kerja kecemasan berhubung kejadian tersebut iaitu LRA Pokok Sena dan LRA Bukit Pinang.

Bagi Ramlah Ibrahim, 51, pula, dia sempat menyimpan air untuk minum kerana bekalan air rumahnya terputus pada pukul 6 petang kelmarin.

Menyimpan air

Dia menyimpan air di dalam baldi dan tong supaya tidak menimbulkan masalah sekiranya gangguan bekalan air itu berlarutan dalam tempoh lama.

“Alhamdulillah saya bernasib baik kerana mendapat maklumat awal mengenai kejadian ban Mada pecah dan bolehlah saya menyimpan bekalan air lebih awal,” ujarnya.

Sementara itu, Nurul Hidayah Hassan, 52, dari Kampung Tanjung Seri pula berkata, beliau dan keluarganya tidak sempat menyimpan air kerana bekalan air terputus pada pukul 7 malam.

Pada mulanya dia tidak percaya maklumat yang diterima melalui WhatsApp dihantar seorang rakan.
“Apabila ketiadaan bekalan air, saya sekeluarga terpaksa membawa pakaian ke rumah saudara di Hutan Kampung di sini untuk dibasuh.

“Nasib baik juga anak saya sempat membeli air mineral dari kedai berdekatan untuk minum.
“Apa yang saya kesalkan selepas bekalan air terputus tiada bekalan air dihantar oleh SADA (Syarikat Air Darul Aman) untuk keperluan penduduk,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN