KUALA SELANGOR: Kira-kira 10,000 penduduk di Parlimen Tanjong Karang menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri peringkat Parlimen itu yang diadakan di Padang Astaka, di sini hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar, sambutan Aidilfitri yang kali pertama diadakan dalam suasana endemik di peringkat Parlimen tersebut berlangsung meriah tetapi dengan kebiasaan baharu.
“Selepas dua tahun berada dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 hari ini Padang Astaka kembali meriah sempena Sambutan Aidilfitri Parlimen Tanjong Karang.
“Selain itu kita turut menjemput Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi yang bersama kita dalam Muafakat Nasional (MN),” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis tersebut yang turut dihadiri Yang Dipertua Pas Kawasan Tanjong Karang, Dr. Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin.
Terdahulu pada majlis tersebut juga beliau turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar yang mendaftar untuk mengikuti kursus peringkat diploma dan ijazah tahun ini.
“Seramai 103 pelajar yang memasuki institut pengajian tinggi kita beri sumbangan sempena majlis hari ini. Selain mengucapkan tahniah atas kejayaan mereka kita berharap sumbangan ini dapat mengurangkan beban kewangan keluarga pelajar terbabit,” jelasnya. – UTUSAN