BUKIT MERTAJAM: Sebanyak RM4,549,780 diagihkan oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) kepada seramai 14,744 penerima terdiri daripada golongan asnaf di bawah kategori fakir dan miskin di negeri ini tahun ini.
Agihan di bawah peruntukan untuk zakat tambahan atau dikenali sebagai Saguhati Nur Ramadan itu dibuat menjelang sambutan bulan Ramadan setiap tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali berkata, selain wang tunai penerima Saguhati Nur Ramadan itu turut diberikan hamper berupa keperluan makanan.
“Harapan saya semoga agihan zakat seperti ini dapat meringankan beban golongan sasaran ketika menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Amran turut berterima kasih kepada para pembayar zakat yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka di Zakat Pulau Pinang.
“Saya amat berharap agar lebih ramai individu dan syarikat korporat tampil menunaikan zakat bagi membantu ZPP meneruskan agenda penting dalam membela golongan asnaf di negeri ini,” ujarnya. – UTUSAN