JOHOR BAHRU: Dua pemandu termasuk seorang lelaki warganegara Singapura ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk hasil operasi polis di Jalan Sutera Danga, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, operasi berkenaan menyaksikan sejumlah 23 notis saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan.
Katanya, sebanyak 61 buah kenderaan diperiksa dengan lima pemandu dikenakan ujian pernafasan, sementara dua daripada mereka didapati memandu dalam keadaan mabuk.
“Sasaran operasi ini adalah kepada pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan.
“Kaedah untuk mengesan alkohol dalam badan dibuat melalui ujian saringan awal menggunakan alatan SD2+, sekiranya ujian awal melebihi had ia disusuli dengan ujian hembusan menggunakan alatan EBA-II,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Rupiah, 23 notis saman yang dikeluarkan melibatkan 14 notis langgar lampu isyarat, lima notis menggunakan telefon bimbit, dua notis tiada lesen memandu serta masing-masing satu melibatkan kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.
“Operasi seperti ini akan diteruskan bagi mendidik pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan ditetapkan khususnya tidak memandu kenderaan dengan mengambil alkohol melebihi had yang dibenarkan sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain,” ujarnya. – UTUSAN