Warga emas hidap barah, bakal sambut Aidilfitri di rumah daif

Warga emas hidap barah, bakal sambut Aidilfitri di rumah daif

ROSLINAH A. Kadir menunjukkan keadaan rumah yang agak daif yang didiaminya bersama tiga orang anak di Kampung Sungai Mahang, Nilai, Seremban.–UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang warga emas yang menghidap barah payudara hanya akan meraikan sambutan Aidilfitri  di sebuah rumah daif di Kampung Sungai Mahang, Nilai di sini.

Roslinah A. Kadir, 62, berkata, dia tinggal di rumah pusaka peninggalan keluarganya itu bersama tiga  anaknya berusia 20 hingga 30 tahun termasuk seorang orang kelainan upaya (OKU) lembam, selepas kematian suaminya.

Dia memberitahu, telah menghidap barah tersebut sejak 16 tahun  malah kini sudah tidak mampu berdiri  lama kerana turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Rumah ini peninggalan keluarga saya. Difahamkan ia adalah di atas tanah lesen pendudukan sementara (TOL) milik kerajaan negeri.

“Rumah daif ini mempunyai bahagian bawah jadi saya tinggal di bawah sahaja manakala bahagian atasnya pula digunakan oleh anak saya untuk tidur.

“Walaupun dindingnya sudah runtuh namun, tiangnya masih kuat. Sekiranya ada yang ingin membantu saya terima sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Sungai Mahang, Nilai, hari ini.

Akhbar ini juga sebelum ini pernah melaporkan kisah Roslinah yang terpaksa menjual kerepek pisang demi menampung hidupnya sekeluarga.

Sementara itu, menurut Roslinah, kejadian banjir pada bulan Disember tahun lalu turut memusnahkan kawasan sekitar rumahnya dan dia sekeluarga terpaksa tinggal di bahagian atas rumah tersebut selama empat hari.

“Memang ketika itu terpaksa tinggal di bahagian atas kerana mahu elakkan banjir. Saya agak bimbang sekiranya kejadian banjir berulang lagi.

“Kami tidak mampu untuk memperbaiki rumah ini kerana anak-anak bekerja biasa sahaja dan kehidupan kami hanya cukup-cukup makan. Sekiranya ada pihak membantu menyelesaikan isu pemilikan tanah itu dan boleh membaiki rumah ini tentunya saya sangat bersyukur,” katanya.

Roslinah memberitahu, dia ada menerima bantuan bulanan Baitulmal berupa wang tunai sebanyak RM250 dan bakul makanan serta bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250.

Hasil jualan kerepek pisang, kuih kapit dan maruku, wanita ini mampu meraih RM1,000 sehingga RM1,200 sebulan.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan, Roslan Mat Nong berkata, pihaknya turut mengunjungi keluarga berkenaan kelmarin dan turut menyerahkan bantuan wang tunai dan bakul makanan.

“Selepas mendapat maklumat, pihak kami sudah menziarahi keluarga ini semalam. Kami agak sedih melihat keadaan rumah mereka dan berhasrat untuk membantu.

“Bagaimanapun, kami difahamkan keluarga ini tinggal di tanah TOL dan kami  hendak membantu berkenaan pemilikan tanah yang didiami oleh keluarga Roslinah ini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN