Warga asing tak pakai pelitup muka, maki ‘guard' didenda RM800 - Utusan Malaysia

Warga asing tak pakai pelitup muka, maki ‘guard’ didenda RM800

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lelaki warga asing yang tular memarahi pengawal keselamatan selepas ditegur kerana tidak memakai pelitup muka dan menunjukkan isyarat lucah di sebuah pasar raya pertengahan bulan lalu hari ini didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Gagal membayar denda tersebut, Theberge Travis Lee, 44, yang merupakan warga negara Kanada boleh dipenjara selama 15 hari. Tertuduh membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang bekerja dalam industri minyak dan gas didakwa telah menunjukkan isyarat lucah terhadap pengawal keselamatan, Padam Giri dengan tujuan untuk membangkitkan kemarahan pada pukul 9.30 malam, 16 April lalu di Village Grocer M-City, Jalan Ampang di sini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100.

Pada masa, tarikh dan tempat yang sama, Travis Lee turut didakwa tidak memakai pelitup muka dan dituduh mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2022 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 18(1) akta sama.

Peraturan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Nasuha Safian manakala tertuduh diwakili peguam bela, Jayananda Rao.

Terdahulu, ketika mengemukakan rayuan, Rao memberitahu anak guamnya masih bujang dan menanggung tiga beradiknya yang masih menetap di Kanada.

“Tertuduh meminta maaf atas kejadian yang berlaku pada hari tersebut yang sememangnya merupakan satu tindakan yang bodoh dan melulu. Selepas mengetahui insiden tersebut telah tular, anak guam saya telah ke balai polis bagi membetulkan keadaan.

“Tertuduh telah memberikan kerjasama sepenuhnya dan telah diberikan jamin. Apabila diberitahu untuk hadir ke mahkamah hari ini oleh pegawai penyiasat, tertuduh telah hadir sendiri dan mengaku salah selepas dituduh. Ini telah menjimatkan masa mahkamah,” kata peguam terbabit.

Sementara itu, Wardah Nasuha memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajarannya dan juga masyarakat.

Majistret S. Mageswary selepas mempertimbangkan rayuan dan hujah kedua-dua pihak menjatuhkan hukuman denda maksimum RM100 bagi pertuduhan pertama, gagal bayar penjara sehari.

Bagi pertuduhan kedua pula, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM700, gagal bayar penjara dua minggu.

Pada 17 April lalu, tular rakaman video menunjukkan seorang lelaki warga asing tidak memakai pelitup muka dan menunjukkan isyarat lucah sambil mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Ampang di sini.

Lelaki warga Kanada berusia 44 tahun itu ditahan keesokan harinya selepas suspek tampil ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju kira-kira pukul 8.30 malam untuk memberi keterangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN