PETALING JAYA: Sebuah kereta yang dipandu seorang wanita di Jalan Segambut Dalam, Kampung Masjid, dekat sini terperangkap dalam banjir kilat.
Dalam kejadian pukul 3 petang itu, wanita terbabit bagaimanapun diselamatkan sepasukan anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kuala Lumpur.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) berkata, setibanya pasukan Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan di lokasi, pihaknya mendapati sebuah kereta terperangkap dalam arus banjir.
Menurutnya, mangsa wanita berada di dalam kereta berjaya dibawa keluar ke tempat selamat.
“Lokasi lain yang dinaiki air tidak membabitkan mangsa hanya kenderaan terkandas tidak boleh melalui kawasan terbabit.
“Bagaimanapun selepas hampir 30 minit anggota berada di lokasi, air surut sepenuhnya dan kenderaan ringan boleh melalui jalan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jurucakap itu berkata, tujuh balai terbabit bersama enam jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dengan kekuatan 42 anggota.
“Kawasan dan jalan yang terjejas ialah Jalan Segambut Dalam, Kampung Masjid; Jalan Sentul Pasar Dalam; Jalan Maarof, Bangsar; Lembah Pantai (Lebuhraya Sprint); Jalan Kuching; Persiaran Beruas, Bukit Damansara; Jalan Kasipillay dan Jalan Parlimen,” jelasnya. – UTUSAN