SEREMBAN: Sebanyak 2,000 ekor babi yang ditempatkan di 19 buah ladang haram di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Lukut, Port Dickson yang berada berhampiran dengan ladang babi yang dikesan dijangkiti dengan Demam Babi Afrika (ASF) sebelum ini, dipercayai telah dibawa keluar oleh pemilik ladang.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Bakri Sawir berkata, ladang ternakan babi tersebut telahpun kosong dan dipercayai dibawa keluar ke lokasi yang tidak diketahui tanpa pengetahuan pihak berkuasa.
“Apabila pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri meninjau ladang terbabit, didapati kesemua 2,000 ekor babi yang terdapat di ladang-ladang berkenaan sudah tiada dipercayai telah dibawa keluar.

“Bagaimanapun, pihak kami tidak mempunyai sebarang bukti termasuk sekiranya haiwan tersebut dilupuskan,” katanya kepada pemberita selepas Program Mempromosikan Mantai Perdana Online Negeri Sembilan di Pasar Tani Kekal Paroi, di sini hari ini.
Pada 9 April lalu, media melaporkan Negeri Sembilan mencatatkan kes jangkitan wabak ASF apabila ia sah dilaporkan di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Lukut di sini. Dua kes positif itu disahkan menjangkiti babi di sebuah ladang yang tidak berlesen dan dipercayai dibawa dari Perak.
Sebanyak 273 ekor babi yang dijangkiti wabak ASF di ladang di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Lukut di sini, telah dilupuskan pada 13 April lalu.
Sehubungan itu, pihak JPV Negeri Sembilan turut dikatakan akan mengambil sampel darah babi daripada 19 buah ladang ternakan babi tanpa lesen yang terletak berhampiran dengan ladang ternakan yang dijangkiti.
Dalam pada itu, Bakri menjelaskan, pihak JPV negeri melaksanakan pemantauan di laluan utama menempatkan 19 buah ladang haram terbabit.
“Berkemungkinan pemilik ladang menggunakan laluan tersorok di belakang ladang berkenaan untuk membawa keluar kesemua babi berkenaan. Kami akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya susulan isu ini,” katanya.
Bakri turut menasihatkan kepada penternak agar berhati-hati sekiranya ada pihak yang cuba menjual babi di bawah harga pasaran.
“Setakat ini, pihak kami tidak menerima aduan mengenai mana-mana peniaga yang cuba menjual babi di bawah harga pasaran. Bagaimanapun, sekiranya ada boleh melaporkan segera kepada pihak kami,” katanya. – UTUSAN










