Usul pelanjutan SOSMA dibentang sebelum 31 Julai

Usul pelanjutan SOSMA dibentang sebelum 31 Julai

HAMZAH Zainuddin bercakap dalam sidang akhbar khas sesi libat urus bersama NGO berkaitan Akta Sosma di KDN, Putrajaya, hari ini. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan agar usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dibentangkan dan diputuskan dalam sidang Dewan Rakyat sebelum 31 Julai.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, cadangan usul tersebut akan dibincangkan semula bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk menentukan cara pelaksanaannya.

Katanya, KDN juga akan mencadangkan Sidang Khas Dewan Negara diadakan sebelum 31 Julai iaitu tarikh akhir tamat tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) nanti, bagi membincangkan usul pelanjutan itu selepas ia dibawa semula ke Dewan Rakyat.

“Saya akan bawa kepada Yang Dipertua dengan segera, malah saya ada bercakap dengannya (Yang Dipertua). Ada beberapa isu yang kita perlu tengok bagi membolehkan dibawa ke Parlimen akan datang,” katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan SOSMA, di sini hari ini.

Sebanyak 10 NGO hadir memberi sokongan kepada KDN berkaitan keperluan dan kepentingan Subseksyen 4(5) Akta SOSMA 2012.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pelanjutan subseksyen tersebut adalah memberi instrumen siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tahanan mengikut SOSMA. 

“Kalau tak ada subseksyen ini, jadi apa instrumen yang ada PDRM? Mereka tangkap melalui akta itu tetapi instrumen tidak ada dan sebab itu kita perlu lanjutan untuk beri kepada PDRM,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, pengenalan klausa had tempoh (sunset clause) dalam SOSMA memberi ruang kepada kerajaan menilai semula peruntukan dalam Subseksyen 4(5) akta itu setiap lima tahun sekali mengikut keperluan semasa.

Pada 23 Mac lalu, usul kerajaan untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) SOSMA 2012 bagi tempoh lima tahun lagi gagal melepasi undi belah bahagi di Dewan Rakyat. Perkara tersebut diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas sesi undian itu berakhir.

Menerusi undian tersebut, usul yang dikemukakan hanya mendapat 84 undi bersetuju, manakala seramai 86 lagi Ahli Parlimen tidak bersetuju manakala, seramai 50 Ahli Parlimen lain pula tidak hadir semasa undian tersebut dijalankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN