PETALING JAYA: Gelombang haba luar biasa dengan suhu mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celcius dicatatkan di enam lokasi di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata tiga daerah dicatatkan di Semenanjung membabitkan Bandar Baharu di Kedah, Selama (Perak) dan Temerloh (Pahang) manakala, wilayah Malaysia Timur, Limbang di Sarawak serta Tenom dan Pitas di Sabah turut merekodkan suhu luar biasa antara 35 hingga 37 darjah Celsius.
“Fenomena tersebut berlaku akibat fasa Monsun Barat Daya yang dijangka melanda negara hingga pertengahan Oktober ini,” katanya ketika mengikuti Operasi Pembenihan Awan (OPA) di sini semalam.
Ahmad Zahid berkata, sebanyak 3,300 telaga tiub tersedia di kawasan berisiko sebagai langkah awal bagi mengelakkan daripada berlakunya kebakaran hutan akibat cuaca panas melampau.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam masa yang sama turut diarahkan melakukan kerja pembersihan dan bersiap sedia melaksanakan operasi jika keadaan memerlukan.
Pelbagai agensi berkaitan akan mengeluarkan nasihat dan panduan kepada orang ramai supaya mengehadkan aktiviti luar rumah.
“Kita akan beri fokus kepada golongan berisiko tinggi termasuk pelajar sekolah. Penyelarasan turut dilakukan bersama Jawatankuasa Bencana Daerah bagi menjadualkan semula sebarang aktiviti luar membabitkan jabatan dan agensi kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Empangan Bukit Merah, Gunung Semanggol, Perak berada pada tahap kritikal dengan penggunaan air hanya berbaki 12.21 peratus dengan paras kedalaman air juga mencatatkan paras membimbangkan iaitu 19.80 kaki sejak Monsun Barat Daya melanda negara.
Situasi itu sekaligus menjejaskan penggunaan untuk ribuan penduduk di kawasan yang menerima sumber dari kawasan tadahan itu.
Katanya bantuan segera daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi melaksanakan pembenihan awan amat diperlukan disebabkan kawasan persekitaran seperti sawah padi dan keperluan air domestik mengalami penyusutan air yang agak ketara.
“Laporan MetMalaysia memperlihatkan kesahihan perkara itu dan kita membawa 6,000 liter larutan garam Natrium Klorida di dalam empat tangki besar untuk disemburkan di sekitar kawasan,” katanya.
Terdahulu, beliau menyertai Operasi Pembenihan Awan (OPA) dengan menaiki sebuah pesawat milik TUDM jenis C-130 Hercules di Pangkalan Udara TUDM Subang, semalam
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, operasi pembenihan awan itu berjaya apabila hujan lebat berlaku 45 minit selepas operasi tersebut.
Katanya, operasi penyemburan larutan garam dilaksanakan pada awan Kumulus Menara yang bergerak dari arah Barat dan Selat Melaka menuju ke kawasan utara Semenanjung Malaysia.
“Sebelum saya kembali ke Pangkalan Udara TUDM Subang, (kami terima) laporan daripada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) 45 minit setelah semburan itu dilakukan hujan lebat telah berlaku.
“Jadi usaha saintifik dan dengan pertolongan Allah SWT, kita harap pengairan sawah padi di kawasan itu, perikanan dan mitigasi air dapat diatasi,” katanya. – UTUSAN










