PUTRAJAYA: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mahu menjadi juara dalam penawaran program jangka pendek, micro-credentials berkaitan dengan bidang pendidikan.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, penawaran itu dijangka bukan hanya untuk tujuan upskilling dan reskilling, malah menuju ke arah kelayakan akademik.
Katanya, kursus micro-credentials yang disahkan MQA boleh dikumpul dan kemudiannya ditukar menjadi kelayakan akademik peringkat sijil, diploma, ijazah dan seterusnya.
“Masyarakat setempat terutamanya dari sekitar negeri Perak perlu merebut peluang apabila program berkenaan ditawarkan oleh UPSI nanti khususnya dalam kalangan golongan mereka yang ingin meningkatkan kompetensi dalam bidang pendidikan,” katanya pada Sesi Jelajah MQA di UPSI yang dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof. Dr. Marzita Puteh, dekat sini semalam.
Sesi jelajah itu menjadi antara program berfokus MQA untuk bertukar pandangan secara terus dengan pihak institusi pengajian tinggi (IPT) dalam konteks jaminan kualiti pengajian tinggi di samping mempromosi agenda pengajian sepanjang hayat (PSH) seperti APEL.A, APEL.C, APEL.Q dan micro-credentials serta menggalakkan lebih banyak IPT menjadi Pusat Penilaian APEL.
Mohammad Shatar berkata, dalam era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) ini, majikan lebih cenderung memilih mereka yang mempunyai kemahiran dan kompetensi yang baik dalam sesuatu pekerjaan.
Katanya, micro-credentials berperanan memberi nilai tambah kepada golongan pekerja untuk kekal relevan dalam kerjaya.
“Sistem pembelajaran yang menyokong agenda PSH yang sering diuar-uarkan Kementerian Pengajian Tinggi ini menjadi platform kepada golongan profesional yang menghadapi kekangan masa dalam apa jua bidang untuk meningkatkan tahap kecekapan dan kepakaran mereka.
“Kita mesti menerima realiti bahawa micro-credentials dan pembelajaran dalam talian adalah norma baharu pendidikan masa kini yang boleh membantu kelestarian negara dalam melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing,” katanya. – UTUSAN