Unit perumahan mampu milik bagi peserta latihan industri

Unit perumahan mampu milik bagi peserta latihan industri

JAGDEEP Singh Deo (tengah) dalam sidang akhbar mengenai Program Subsidi Latihan Industri Pulau Pinang (PISP) di, Teluk Kumbar, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sebanyak 250 unit perumahan mampu milik di negeri ini disediakan sebagai unit penempatan untuk bakat-bakat tempatan yang menyertai Program Subsidi Latihan Industri Pulau Pinang (PISP).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, buat permulaan sebanyak 80 unit rumah mampu milik di tiga kawasan iaitu di dua di bahagian pulau dan satu di Batu Kawan ditawarkan sebagai lokasi penempatan bakat-bakat tempatan bagi program PISP itu.

Menurut beliau, PISP dilaksanakan untuk mencari dan mengekalkan bakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan perakaunan untuk terus tinggal serta bekerja di negeri ini.

”Sebagai permulaan 80 unit rumah mampu milik yang dimiliki kerajaan negeri ditawarkan kepada  syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mempunyai operasi di Pulau Pinang sebagai penempatan kepada bakat tempatan yang menjalani latihan industri di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Mac lalu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang beraspirasi menarik 150,000 pekerja berasaskan pengetahuan dalam tempoh lima tahun akan datang dan PISP diperkenal bagi membuka peluang kerjaya kepada individu berbakat sekali gus mereka akan menikmati keseimbangan hidup- kerjaya-hibur.

Menurut Jagdeep, penduduk yang menghuni unit perumahan yang terlibat dengan projek berkenaan tidak perlu bimbang memandangkan hanya bakat-bakat tempatan yang menjalani latihan industri dibenarkan untuk tinggal di situ.

”Mereka yang menyertai program PISP adalah terdiri daripada bakat tempatan yang mempunyai sekurang-kurangnya diploma atau ijazah sarjana muda.

”Program ini dijalankan adalah untuk memudahkan bakat tempatan tinggal di kediaman yang selesa dan memudahkan mereka menjalani latihan industri serta mengekalkan mereka untuk tinggal di Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN