Ujian RTK Antigen Covid-19 boleh diselia secara maya - Utusan Malaysia

Ujian RTK Antigen Covid-19 boleh diselia secara maya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan memperkenalkan alternatif baharu terhadap ujian RTK Antigen Covid-19 kendiri iaitu dijalankan oleh individu dengan seliaan pengamal perubatan secara maya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perkhidmatan itu merupakan satu inisiatif teleperubatan yang ditawarkan secara digital tanpa memerlukan individu hadir secara fizikal ke fasiliti kesihatan.

Katanya, perkhidmatan itu berdasarkan kepada dokumen yang dikeluarkan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), membolehkan pengguna mendapatkan keputusan ujian RTK kendiri yang disahkan oleh pengamal perubatan dengan lebih cepat tanpa perlu ke fasiliti kesihatan sekali gus akan menjimatkan masa, kos serta mengurangkan risiko jangkitan kepada orang lain.

“Namun, seliaan hanya boleh dilakukan oleh pengamal perubatan swasta yang berdaftar dengan MMC, perkhidmatan maya dilaksanakan secara langsung (live) dan bukannya panggilan video Whatsapp bagi mengelakkan berlaku penipuan dalam keputusan ujian sekiranya rakaman video dibenarkan dan pelaporan keputusan ujian hendaklah menggunakan platform e-COVID,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Jelasnya, semasa sesi konsultasi, pengamal perubatan perlu memastikan keperluan tertentu seperti penggunaan teknologi dan alatan yang bersesuaian dan mematuhi keperluan privasi pengguna.

“Memastikan maklumat yang diberikan oleh pengguna adalah sahih, menjalankan penilaian status kesihatan pengguna, memberi penerangan berkenaan aspek keselamatan seperti pengudaraan, kebersihan diri dan pelupusan kit ujian.

“Memastikan pengguna mematuhi prosedur pengambilan sampel seperti yang dinyatakan dalam manual kit ujian yang digunakan; memastikan terdapat unique identifier pada kit ujian yang digunakan oleh setiap pengguna bagi mengelakkan pemalsuan dan duplikasi,” katanya.

Malah, katanya, pengamal perubatan perlu memastikan keseluruhan prosedur ini diselia secara langsung (live) dan bukan rakaman video serta memastikan keputusan ujian ini dimuatnaik dalam eCOVID sebagai RTK-Ag kendiri seliaan maya.

“Kementerian berharap dengan inisiatif baharu ini dapat memudahkan lagi masyarakat Malaysia dan pengembara melakukan pengujian Covid-19 serta keputusan yang telah ditentusahkan oleh pengamal perubatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN