LIPIS: Peniaga tudung di pekan Kerambit di sini lega selepas dua tahun perniagaannya terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 apabila jualan tahun ini meriah terutamanya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Farahwahida Ramli, 38, berkata, ketika pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jualan tudungnya sehari sekitar dua hingga tiga helai sahaja yang laku.
“Namun tahun ini lain apabila memasuki sahaja Ramadan dan menjelang Aidilfitri perniagaan saya berubah seperti ramai yang tidak sabar beraya selepas dua tahun tidak dapat meraikan,” katanya di pekan Kerambit dekat sini semalam.
Farahwahida berkata, beliau mula berniaga sejak 2019 dengan mempamerkan jenama By Che Fiza (BCF) yang dibekalkan seorang pengusaha, Ruzaujah Ahmad dari Kota Bharu, Kelantan.
Katanya, berniaga tudung paling mudah dengan peniaga boleh memilih di tepi-tepi premis, berdekatan stesen bas, pekan sehari dan beberapa tempat strategik yang menjadi tumpuan ramai.
“Setiap hari saya memilih sebuah astaka di pekan Kerambit kerana di situ menjadi tumpuan penduduk berbelanja keperluan harian dan juadah berbuka puasa,” katanya.
Jelas beliau, sepanjang Ramadan lebih 500 helai tudung pelbagai bentuk, saiz dan warna jenama By Che Fiza (BCF) dipamerkan khas untuk Aidilftri.
Sehari beliau mampu menjual tudung berharga RM30 hingga RM45 sehelai antara 15 hingga 20 helai. – UTUSAN










