Tuduhan UiTM pilih pelajar kaya buta sejarah, fakta - Utusan Malaysia

Tuduhan UiTM pilih pelajar kaya buta sejarah, fakta

KAMPUS UiTM di SHAH ALAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dakwaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) lebih mementingkan anak-anak orang kaya untuk belajar di pusat pengajian itu bukan sahaja tidak berasas malah buta sejarah dan tidak mengkaji fakta.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Naib Canselor UiTM, Tan Sri. Ir Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, semasa menerajui UiTM, beliau sendiri terlibat memilih pelajar dalam kalangan B40 untuk menuntut di institusi berkenaan.

Justeru, menurut beliau, orang ramai tidak sepatutnya mengeluarkan tuduhan sesuka hati tanpa berlandaskan fakta dan sejarah termasuk dakwaan sedemikian.

Katanya, hingga kini, beliau yang bertanggungjawab mencari bakal pelajar yang menyasarkan orang Melayu dan bumiputera dari seluruh negara melalui Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia terutama daripada B40, tanpa menafikan hak golongan yang lebih mampu.

“Jadi, siapa pun yang mendakwa UiTM seperti ini, mereka sepatutnya lebih banyak membaca apa yang diperjuangkan universiti ini sejak awal penubuhannya. Inilah yang terjadi apabila menuduh secara semberono,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sahol Hamid menyokong kenyataan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor bahawa pengambilan bagi setiap kemasukan ke institusi itu berdasarkan merit dengan memberi keutamaan kepada penuntut B40.

 

Tidak berasas

Semalam, seperti yang dilaporkan Mingguan Malaysia Roziah menjelaskan , dakwaan bahawa UiTM lebih mementingkan pelajar golongan berada adalah tidak berasas kerana 129,780 orang atau 70 peratus daripada 185,400 pelajarnya daripada B40, manakala hanya 55,620 atau 30 peratus pelajar di peringkat diploma dan ijazah dari golongan berpendapatan sederhana (M40) dan berpendapatan tinggi (T2O).

Sementara itu, Presiden Persekutuan Alumni UiTM, Saiful Azhar Shaharun berkata, pandangan pihak luar bahawa universiti itu bersikap berat sebelah dan pilih kasih tidak menggambarkan secara keseluruhan yang berlaku di peringkat bawah.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menyokong apa jua yang dilaksanakan UiTM termasuk dasar-dasar pengambilan pelajar kerana diyakini sudah berada di landasan sepatutnya.

“Kami sendiri sentiasa berhubung dengan naib canselor, malah, pertemuan kami semasa mesyuarat pada awal tahun ini, beliau telah memberi kepercayaan mandat untuk bersama-sama dalam apa jua pelaksanaan dasar UiTM.

“Kami juga ada jaringan alumni dan komuniti bagi memastikan maklumat yang sepatutnya dapat dikongsi. Kami dari semasa ke semasa akan memberikan pandangan membina jika ada yang kami rasakan perlu ditambahbaik dan diperkukuhkan melalui saluran yang betul,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN