Tradisi mantai tahun ini lebih meriah

Tradisi mantai tahun ini lebih meriah

ISMAN Triman menyediakan daging lembu untuk dibeli orang ramai ketika ditemui di Kampung Repah, Tampin hari ini. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Tradisi mantai yang cukup popular dalam kalangan penduduk di Negeri Sembilan termasuk bagi menyambut kedatangan Ramadan dilihat lebih meriah tahun ini ketika negara dalam fasa peralihan ke endemik.

Menurut peniaga daging di Kampung Repah di sini, Isman Triman, 46, suasana tahun ini lebih meriah berbanding dua tahun kebelakangan kerana pada waktu itu terdapat kekangan tertentu untuk peniaga-peniaga daging menjualnya secara terbuka.

“Sebelum ini pandemik untuk berniaga terbuka seperti ini, kami hanya dibenarkan menerima tempahan secara bayar selepas terima (COD) sahaja, (manakala) tahun ini tidak lagi.

“Tahun ini, saya menyediakan bekalan daging sebanyak lapan ekor. Di Negeri Sembilan ini menjelang puasa mesti daging lembu mendapat permintaan tinggi kerana masyarakatnya akan menjalankan tradisi mantai.

“Di sini, biasanya orang dari Segamat, Johor pun akan tumpang sekali kemeriahan mantai dengan turut membeli daging di sini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, seorang pembeli, Baharudin Md Din, 70, berkata, walaupun dia berasal dari Simpang Ampat, Melaka, tradisi mantai sudah sebati dengan dirinya yang kini menetap di daerah ini.

Katanya, semasa masih berkhidmat sebagai penjawat awam di Johor, dia pasti akan pulang ke Negeri Sembilan untuk membeli daging semasa hari mantai bagi dijadikan juadah menyambut puasa.

“Di negeri lain susah nak dapat suasana meriah macam ni. Di Negeri Sembilan dan dapat terus kekal diwarisi generasi akan datang lebih-lebih lagi ia merupakan keunikan masyarakat di negeri ini,” katanya lagi.

Mantai merupakan dialek Negeri Sembilan yang merupakan tradisi masyarakat di negeri ini disambut menjelang Ramadan mahupun perayaan Aidilfitri termasuk melapah daging lembu dan kerbau selain membakar lemang secara bergotong-royong bersama ahli keluarga.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya