MELAKA: Kegiatan ulat parkir mengutip bayaran antara RM2 sehingga RM3 bagi setiap kenderaan yang mengunjungi Bazar Aidilfitri Klebang di sini berakhir dengan tindakan kompaun oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu berkata, hasil intipan, aktiviti tersebut dikesan didalangi tiga operator yang merupakan pemilik tanah persendirian di kawasan tersebut.
Katanya, susulan itu tiga kompaun bernilai keseluruhan RM750 dikeluarkan kepada pemilik premis kerana mengusahakan perkhidmatan parkir secara haram.
“Kita ada menerima aduan mengenai ulat parkir ini dan satu operasi bersepadu bersama Unit Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dibuat di Bazar Aidilfitri Klebang pada 14 April lalu. Kita dapati tiga daripada empat operator tidak mempunyai lesen dan mengutip bayaran sekitar RM2 sehingga RM3 secara haram daripada pengunjung, susulan itu tiga kompaun bernilai RM250 setiap satu dikeluarkan kepada pemilik premis,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengagihan Bubur Lambuk MBMB Bersama Maggi di Pejabat MBMB di sini, semalam.
Jelas Zainal, tindakan kompaun dikeluarkan di bawah kesalahan Undang-undang Kecil (UUK) 3 (a) UUK Pelesenan Tempat Letak Kereta Persendirian (MBMB) 2010.
Beliau memberitahu, intipan di Bazar Aidilfitri Melaka Grand Ramadan Bazar (Melgrab) di Jalan Hang Tuah bagaimanapun tidak mengesan sebarang aktiviti sedemikian.
“Ketika operasi dilakukan, kita tidak nampak pergerakan ulat parkir ini sama ada di bahu jalan atau petak parkir MBMB, seperti aduan dibuat pengunjung. Pasukan penguat kuasa akan terus menjalankan intipan dan tindakan kompaun akan dikenakan kepada operator sekiranya dikesan mengenakan bayaran secara haram,” tegasnya.
Terdahulu, MBMB mengumumkan semua parkir awam bagi Bazar Ramadan dan Aidilfitri di bawah pentadbirannya adalah percuma.
Bagaimanapun sejak minggu lalu, tular gambar serta rakaman video mengenai aktiviti ulat parkir di dua lokasi berkenaan, yang didakwa mengutip bayaran dengan menggunakan resit tertera nama bazar tersebut.
Pihak penganjur kedua-dua bazar turut dipanggil oleh MBMB untuk membantu siasatan dan mereka menafikan terlibat dengan kegiatan tersebut. – UTUSAN