Tiga daerah di Sabah bakal nikmati kemudahan 5G - Utusan Malaysia

Tiga daerah di Sabah bakal nikmati kemudahan 5G

YAKUB Khan (berdiri-dua kanan) menyaksikan acara menandatangani MoU antara KSTI dan ASM di Kota Kinabalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Tiga daerah utama di Sabah bakal menikmati kemudahan 5G dalam tempoh tiga tahun lagi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Yakub Khan berkata, pelaksanaan kemudahan 5G itu akan dilakukan secara berperingkat di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.

Beliau berkata, kementeriannya menyasarkan semua kawasan berpenduduk akan menikmati kemudahan 4G secara menyeluruh menjelang 2025.

“Penduduk di Sabah akan dapat menikmati kemudahan internet yang lebih baik apabila pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf dan membina baharu menara telekomunikasi di negeri ini siap sepenuhnya.

“Itu antara sasaran di bawah Pelan Strategik Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) yang dilaksanakan sepanjang tempoh empat tahun ini,” katanya ketika majlis pelancaran Pelan Strategik KSTI 2022-2025 di sini.

Menurut beliau, KSTI menyasarkan capaian internet di Sabah akan sempurna sepenuhnya lebih awal antara 2023 dan 2024.

Katanya, pelan strategik KSTI itu akan membantu memacu pembangunan infrastruktur dan teknologi digital di negeri ini agar usaha meningkatkan tahap penggunaan teknologi digital rakyat dapat dilakukan.

Di samping itu jelasnya, ia juga akan membantu meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang berteknologi tinggi.

Tambah beliau, dalam memperkukuhkan bidang sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) di Sabah, tiga memorandum persefahaman (MoU) turut ditandatangani antara Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) dan Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (Ipdas); Pusat Kreatif Ekonomi dan Inovasi Sabah (Scenic) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC); serta KSTI dan Akademi Sains Malaysia (ASM).

Dalam majlis itu, Yakub turut menyampaikan sumbangan kepada 35 pelajar tahfiz bagi meringankan bebanan mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN